suria

Dua kali tunda… akhirnya filem ‘Mencari Rahmat’ ditayangkan 10 Jun depan

Mencari Rahmat menemui penonton pada 10 Jun depan.

SELEPAS dua kali ditunda tayangan kerana pandemik Covid-19, akhirnya filem Mencari Rahmat akan menemui penonton pada 10 Jun depan.

Menurut penerbitnya, Zuli Ismail, tarikh baharu tersebut diberikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi sekeping surat yang dihantar kepada produksi AB Roll Sdn Bhd, baru-baru ini.

"Setelah terpaksa ditunda sebanyak dua kali, ingin saya nyatakan bahawa tarikh baharu untuk tayangan filem Mencari Rahmat adalah pada 10 Jun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Panggung tutup! ‘Mencari Rahmat’ terpaksa ditunda tayangan kali kedua

"Kami telah menerima surat daripada Finas yang memaklumkan tentang tarikh tayangan yang baru ini," katanya kepada mStar.

Menerima berita gembira itu dengan penuh kesyukuran, Zuli turut berharap filem Mencari Rahmat tidak lagi ditunda tayangannya di pawagam.

Justeru itu, dia menyeru orang ramai untuk menyokong industri perfileman tanah air dengan menonton filem ini beramai-ramai di pawagam.

"Saya percaya memang ramai yang menantikan tayangan filem ini, cuma apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar kawalan kami.

"Jadi, saya seru kepada penonton supaya jangan lepaskan peluang menonton filem ini apabila ditayangkan di pawagam nanti," jelasnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Mencari Rahmat sepatutnya ditayangkan pada 18 Jun 2020, namun ditunda ke tarikh 31 Disember 2020.

Bagaimanapun, filem ini sekali lagi ditunda berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sehingga pawagam terpaksa menutup operasi buat sementara waktu.



Mencari Rahmat ditangguh kerana Covid-19.

Mencari Rahmat arahan Al Jafree Md Yusop dibintangi oleh Nam Ron, Amerul Affendi, Sharifah Amani, Nadia Aqilah, Adibah Noor, Fauziah Nawi dan Eric Fuzi.

Filem ini mengisahkan mengenai seorang ahli perniagaan berjaya bernama Razak lakonan Nam Ron.

Razak seorang anak yatim piatu yang diambil sebagai anak angkat oleh Tan Sri Omar dan Puan Sri Jamilah kerana mereka tiada anak lelaki.

Razak diamanahkan menjaga cucu perempuan mereka, Ratna (Sharifah Amani) yang juga telah kehilangan ibu dan bapanya.

Konflik bermula apabila Razak seorang lelaki yang suka berfoya-foya dan menghabiskan masa dengan berhibur perlu menunjukkan teladan yang baik pada Ratna.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain