suria

Zahirah MacWilson harap 'Bulan & Pria Terhebat' jadi penanda aras filem aksi wanita

Zahirah MacWilson diberikan watak utama dalam filem aksi, Bulan & Pria Terhebat yang mengangkat tema pemerkasaan wanita.

MEMEGANG watak utama dalam filem aksi Bulan & Pria Terhebat (BPT), pelakon Zahirah MacWilson berharap naskhah tersebut akan dijadikan sebagai penanda aras untuk penggiat seni melahirkan lebih banyak lagi karya bermutu yang mengangkat tema memperkasakan wanita.

Pernah ditayangkan selama lima hari di pawagam bermula 12 Mac tahun lalu, filem arahan Ghaz Abu Bakar itu kemudiannya terpaksa dihentikan tayangan kerana negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi 'fighting' Zahirah MacWilson, Maya Karin paling mengagumkan... ini 10 perkara menarik dalam filem 'Bulan & Pria Terhebat'!

Terbaharu, filem tersebut telah kembali ditayangkan menerusi platform Astro First bermula Khamis lalu.

"Saya harap filem ini akan dijadikan sebagai satu ukuran untuk dipelbagaikan lagi filem-filem aksi bergenre memperkasakan wanita untuk industri perfileman tempatan.

"Saya harap semua orang dapat menikmati filem ini. Bulan & Pria Terhebat merupakan sebuah filem yang sesuai untuk ditonton seisi keluarga.



Salah satu babak dalam Bulan & Pria Terhebat.

"Saya tak sabar nak mendengar maklum balas daripada mereka yang telah menontonnya," katanya kepada mStar.

Diminta mengulas mengenai filem ini yang tidak lagi ditayangkan di pawagam, isteri kepada aktor Aiman Hakim Ridza ini berkata, ia adalah suatu 'kebebasan' yang telah dirampas namun bersyukur kerana terdapat platform lain lagi yang turut boleh dikongsikan bersama penonton.

Saya harap filem ini akan dijadikan sebagai satu ukuran untuk dipelbagaikan lagi filem-filem aksi bergenre memperkasakan wanita.

ZAHIRAH MACWILSON

PELAKON

"Saya rasa ada kebaikan dan keburukan. Senang dapat mengakses filem ini dari kediaman sendiri tetapi dari sisi lain, saya berpendapat bahawa ia merupakan faktor sosial yang telah diambil dari kita.

"Kita tidak lagi boleh keluar dan bertemu dengan rakan-rakan untuk menikmati filem di luar seperti biasa.

Barisan pelakon utama Bulan & Pria Terhebat.

"Walaupun demikian, demi keselamatan kita, ini adalah sesuatu yang harus kita korbankan dan merupakan ‘blessing in disguise’ kerana kita mempunyai teknologi televisyen untuk terus menikmati filem dari rumah," katanya.

BPT mengisahkan Bulan lakonan Zahirah yang merupakan pelatih dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati (Aprena Manrose) yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan sebagai gadis hiburan.

Filem ini diterbitkan hasil kerjasama Astro Shaw, Nizra Entertainment dan Skop Productions.

Selain Zahirah, 26, dan Aprena, BPT turut dibintangi Zizan Razak, Maya Karin, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Sein Qudsi, Bell Ngasri, Mimi Ernida, Marissa Yasmin dan Didie Alias.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain