suria

Tiga kali tangguh… ‘Salina’ jadi filem Melayu pertama ditayang selepas pawagam dibuka

Filem Salina merungkai banyak konflik membabitkan watak utama Salina lakonan Mona Allen.

KEBENARAN pembukaan semula operasi panggung wayang sejak 5 Mac lalu melegakan banyak pihak termasuklah penerbit dan pengusaha filem tempatan.

Menyokong usaha dibuat kerajaan itu, penerbit produksi Madness Films Sdn Bhd iaitu Shafirulnizam Haron nekad meneruskan tayangan filem terbaharu terbitan mereka berjudul Salina.

Meskipun negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Shafirulnizam berkata mereka meletakkan keyakinan tinggi bahawa filem ini mampu menarik ramai penonton ke pawagam.

ARTIKEL BERKAITAN: Panggung wayang masih ditutup, filem 'Ada Apa Dengan Dosa' beralih tayangan di Astro First

"Sebelum buat keputusan untuk tayangan filem ini, saya ada buat kajian terlebih dahulu... melihat di negara luar selepas tempoh perintah berkurung dan wayang dibenarkan buka, memang ramai yang pergi.

"Mereka kata rindu nak hiburan begini... semasa hari pertama pawagam dibenarkan operasi di Malaysia pula, saya datang pantau dan lihat kedatangan penonton agak baik. Selepas buat solat istikarah saya rasa kenapa tidak Salina jadi filem Melayu pertama masuk panggung semula.



Sidang media selepas tayangan perdana filem Salina, (dari kiri); Pekin, Alicia Amin, Mona Allen, pengarah Raja Mukhriz dan penerbit, Shafirulnizam.

"Saya sedar pandemik ini mungkin akan mengurangkan sedikit penonton kerana beberapa kekangan termasuklah had pawagam tapi kita tidak melihat ia sebagai satu masalah... InsyaAllah kita akan dapat sokongan orang ramai," katanya kepada mStar.

Shafirulnizam ditemui selepas tayangan perdana filem Salina yang diadakan di MM2 Cineplexes, eCurve, Petaling Selangor pada Rabu.

Sebenarnya kalau kita tak tayang sekarang, saya rasa akan ada lebih saingan selepas hari raya nanti!

SHAFIRULNIZAM HARON

PENERBIT SALINA

Dalam pada itu, Shafirulnizam berkata filem ini sepatutnya ditayangkan pada tahun lalu, namun ditangguhkan sebanyak tiga kali kerana PKP.

"Kita selesai penggambaran dalam Ogos 2019... sepatutnya tarikh tayangan pada Julai 2020 tapi tangguh kepada 5 November sehinggalah pada hari ini.



Banyak babak seram dan mengejutkan dalam filem Salina.

"Sebenarnya kalau kita tak tayang sekarang, saya rasa akan ada lebih saingan selepas hari raya nanti kerana banyak filem Hollywood akan ditayangkan juga.

"Apa-apa pun ada hikmah penangguhan itu kerana kita ada lebih banyak masa untuk memperbaiki filem ini," ujarnya yang turut memaklumkan pembikinan Salina menelan belanja lebih RM1 juta.

Salina arahan Raja Mukhriz mengisahkan mengenai seorang wanita penyayang dan menyimpan banyak rahsia tentang konflik kehidupannya sehinggalah terungkai misteri di sebalik kisah yang berlaku di antara mereka.

Filem dibintangi oleh Mona Allen, Pekin Ibrahim dan Alicia Amin ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula Khamis.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain