suria

Panggung wayang masih ditutup, filem 'Ada Apa Dengan Dosa' beralih tayangan di Astro First

Tayangan filem ini yang dijadualkan pada 24 September dipercepatkan kepada 4 Jun depan.

FILEM Ada Apa Dengan Dosa yang dijadualkan tarikh tayangan pada 24 September di pawagam terpaksa ditayangkan di saluran Astro First pada 4 Jun ini berikutan keadaan negara yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penerbit Datuk Ayu Puteh berkata, keadaan ekonomi yang tidak tidak menentu ketika wabak Covid-19 ini memerlukan dia membuat keputusan yang terbaik untuk filem berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bintang YouTube Asif, Yoe Parey dan Syahmi Sazli tunjuk bakat lakonan dalam 'Syif Malam Raya'

"PKPB masih bersambung dan situasi jangkitan virus Covid-19 masih tidak stabil.



Ada Apa Dengan Dosa menjalani penggambaran di Scotland dan Malaysia.

"Saya melihat keadaan ekonomi dalam kalangan penggiat industri filem tempatan akan mengambil masa untuk pulih, malah ramai pekerja filem yang sudah tiada pekerjaan.

"Pihak kami juga perlu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP), keselamatan dan kedudukan kewangan masyarakat. Menunggu keadaan ekonomi kembali pulih seperti sebelum ini dalam jangka masa pendek bukanlah perkara mudah.

"Oleh yang demikian, saya sebagai penerbit filem terpaksa memutuskan apa yang terbaik untuk filem ini walaupun ia bukan keputusan yang mudah," katanya.

Pemilik Pencil Pictures and Records itu berpendapat, filem ini wajib menjadi tontonan umum kerana banyak mesej yang ingin disampaikan.



Adam Corrie dan Fasha Sandha turut membintangi Ada Apa Dengan Dosa.

Tambahan pula, pada masa ini segelintir masyarakat mulai alpa dengan duniawi, ghairah dengan keseronokan dan keindahan dunia yang sementara sehingga terlupa dosa dan pahala serta tanggungjawab.

"Saya bukanlah mahu menghakimi dosa pahala setiap antara kita tetapi kerana rasa tanggungjawab sesama islam dan generasi kita yang akan datang. InsyaAllah," katanya.

Filem arahan Rahila Ali dibintangi Ashraf Muslim, Fasha Sandha, Wanna Ali, Haris Ismail, Fauziah Nawi dan Adam Corrie.

Ada Apa Dengan Dosa mengisahkan Aurora yang kembali mencari sinar Islam dan keluarga kandung selepas ditinggalkan di rumah anak yatim sejak lahir.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada Apa Dengan Dosa, Astro First

Artikel Lain