suria

Bintang YouTube Asif, Yoe Parey dan Syahmi Sazli tunjuk bakat lakonan dalam 'Syif Malam Raya'

Gelagat personaliti media sosial, Syahmi Sazly, Asif, Yoe Parey pasti mencuit hati penonton di rumah.

TIGA bintang YouTube sensasi iaitu Asif, Yoe Parey dan Syahmi Syazli buat pertama kali muncul dalam filem berjudul Syif Malam Raya yang bakal disiarkan bermula Khamis ini di saluran Astro First.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios yang juga penerbit filem tersebut, Datuk Norman Abdul Halim berkata filem yang sepatutnya ditayangkan di pawagam itu berdepan dengan ketidaktentuan tarikh pawagan kembali beroperasi. Justeru itu, tayangan di stesen berbayar itu merupakan salah satu usaha untuk menyelamatkan industri perfileman tanah air. ARTIKEL BERKAITAN: 'Manap Karaoke' karya Mamat Khalid untuk mereka yang stres dan bosan di rumah - “Masa paling sesuai hiburkan penonton”

"Walaupun pada awalnya filem ini dijadualkan untuk tayangan di pawagam, namun industri perfileman tempatan harus berdepan dengan keadaan realiti semasa dan ketidaktentuan tarikh pawagam untuk kembali beroperasi.

"Pihak kami amat bernasib baik kerana Syif Malam Raya dipilih untuk mula tayangan di Astro First beberapa hari sebelum hari raya. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Astro yang bertindak begitu pantas dalam menyediakan ruang alternatif buat kami penggiat seni, sekaligus memainkan peranan penting dalam menyelamatkan industri perfileman tempatan," katanya.

Filem komedi seram ini akan menceriakan penonton di rumah.

Selepas filem Manap Karaoke, Syif Malam Raya adalah filem kedua yang dirancang untuk tayangan di pawagam, namun ditukar tayangan menerusi saluran Astro First.

Sementara itu, Naib Presiden Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata lanjutan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu, Astro Shaw terus menyediakan kandungan menarik untuk tontonan keluarga yang berada di rumah.

"Sejajar dengan seruan Kerajaan yang membenarkan rakyat Malaysia meraikan sambutan Aidilfitri pada hari pertama sahaja dan terbatas dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami yakin hari raya masih boleh disambut dengan meriah menerusi inovasi dan kreativiti baharu yang dicipta.

"Selepas sambutan positif dan kini menjadi filem nombor satu paling tinggi sewaan di Astro First, filem Manap Karaoke yang ditayangkan pada awal Mei lalu membuktikan penonton mula menerima suasana baru menonton filem terus di pawagam rumah mereka.

"Filem Syif Malam Raya mempunyai elemen penghayatan yang cukup mendalam tentang sambutan Aidilfitri dengan memberi penekanan bahawa tidak kira di mana sahaja kita berada, jalinan masih tetap dapat dieratkan dan kekal utuh. Kami berharap agar filem ini mampu mengisi hari lebaran penonton dengan senyuman walaupun berjarak tempat," ujarnya.

Filem ini menggabungkan pelakon senior dan baharu.

Syif Malam Raya dibintangi oleh kumpulan Zero iaitu Atu, Sharif dan Syaiful, Danial Lawak Solo, Ropie, Saiful Apek, Azlee Senario, Reen Rahim, Emelda Rosemila, Nadia Brian, Lia Natalia dan Shiela Mambo.

Ia juga merupakan penampilan sulung tiga personaliti media sosial iaitu Yoe Parey, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazly.

Kisah Syif Malam Raya bermula apabila cuti raya Zaid (Atu) dan Hisyam (Sharif) tidak diluluskan dan mereka ditugaskan untuk menghantar satu mayat ke Ipoh pada malam Aidilfitri. Mereka turut menumpangkan Mira dan Yoh untuk pulang beraya ke kampung halaman mereka dengan menaiki van jenazah mereka. Kejadian aneh mula berlaku, dan kekecohan timbul apabila mereka tiba di sebuah kampung yang dihantui pocong.

Lagu tema utama bertajuk Raya Online dinyanyikan oleh kumpulan Zero & Kengkawan dihasilkan oleh komposer Azmeer dan lirik, Senibayan.

Filem ini merupakan terbitan Ray Theme dan edaran United Studios dan akan ditayangkan di Astro First saluran 480 bermula Khamis ini.

Syif Malam Raya, Astro First

Artikel Lain