suria

Aksi 'fighting' Zahirah MacWilson, Maya Karin paling mengagumkan... ini 10 perkara menarik dalam filem 'Bulan & Pria Terhebat'!

Gandingan Zahirah dan Zizan dilihat serasi dalam Bulan & Pria Terhebat.

JARANG kita dapat menonton filem aksi mengangkat wanita sebagai hero dan pastinya penggemar filem tempatan ternanti-nanti sejauh mana kehebatan filem Bulan & Pria Terhebat ini.

Melihat kepada posternya sahaja sudah membuatkan ramai peminat teruja dan tidak sabar ingin menyaksikan sendiri naskhah terbaharu arahan Ghaz Abu Bakar ini.

Barisan pelakon hebat seperti Zizan Razak, Zahirah MacWilson, Maya Karin, Alif Hadi, Bell Ngasri, Khir Rahman dan Aprena Manrose menjadi taruhan dan sebab utama menarik penonton ke pawagam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tangguh atau tidak tetap ada risiko!” - Tayangan filem ‘Bulan & Pria Terhebat’ diteruskan meskipun penularan Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Khir Rahman punca Maya Karin terima ‘lamaran’ Ghaz Abu Bakar - “Kalau hati tak rasa seratus peratus, saya akan tolak”

Adakah lakonan mereka boleh dipuji dalam filem Bulan & Pria Terhebat  dan tertanya-tanya boleh tercapaikah angka kutipan pecah panggung?

mStar sediakan 10 ulasan menarik mengenai filem ini!

1. Babak pertarungan yang dilakonkan oleh Zahirah MacWilson cukup mengagumkan! Lebih-lebih lagi dengan bantuan sinematografi dan kerja kamera yang menarik membuatkan aksi berlawan Zahirah nampak sempurna. Walaupun masih bergelar pelakon baharu, Zahirah berjaya mengolah watak Bulan dengan begitu baik.

2. Paling dipuji adalah lakonan Bell Ngasri sebagai Arab, lawak jenaka yang disampaikan membuatkan seisi penonton di pawagam tak kering gusi... alahai baru sahaja penonton nak ambil mood serius, dah tergelak kerana dialog dan aksi Arab itu! Jadi tak adalah rasa bosan kena tengok babak bertumbuk sahajakan?

Bulan datang ke Malaysia untuk menyelamatkan adiknya yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

3. Boleh dikatakan kebanyakan lokasi penggambaran filem ini dijalankan di Johor Bahru. Ia memaparkan kepada penonton keindahan dan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi di negeri selatan tanah air itu.

4. Anda peminat sukan skateboard? Jika ya anda wajib tonton filem ini watak Daud yang dilakonkan oleh Alif Hadi merupakan seorang pemuda yang gilakan permainan skateboard. Semasa menonton filem ini terasa kagum dan tidak menyangka rupa-rupanya ramai anak Malaysia yang hebat dalam sukan ini!

Watak Bell dan Khir membuatkan penonton terhibur.

5. Salah satu babak pertarungan yang masih diingati ialah aksi fighting Zahirah MacWilson dan Maya Karin di atas bas. Jarang sekali kita dapat lihat filem Melayu mengangkat dua wanita sebagai hero dan melakonkan aksi mencabar dan berbahaya, kagum betul!

6. Dalam filem ini Zahirah melakonkan watak Bulan yang merupakan warga Indonesia. Kedatangannya ke Malaysia adalah untuk menyelamatkan adiknya, Melati (Aprena Manrose) yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia. Kalau dah berasal dari negara seberang mestilah kena bertutur dalam bahasa Indonesia kan? Tapi sesekali terasa lucu apabila mendengar Zahirah bertutur dalam bahasa tersebut.

Kemunculan Didie Alias sebagai orang tengah menguruskan sindiket pelacuran.

7. Lakonan Zizan Razak dalam filem ini sudah boleh kita jangkakan, permainan watak dan emosi mungkin tidak terlalu banyak perbezaan dengan filem lakonannya sebelum ini tetapi masih boleh dipuji!

8. Khir Rahman berjaya membawakan watak antagonis dengan begitu baik dan membuatkan penonton naik geram dengan karakter Agus itu. Namun begitu, sesekali watak Agus terselit elemen komedi yang membuatkan penonton turut ketawa.

Barisan pelakon utama filem Bulan & Pria Terhebat.

9. Kesimpulannya, filem berdurasi 1 jam 53 minit ini sesuai ditonton kerana terkandung pelbagai mesej tersirat yang harus dirungkai oleh penonton. Naskhah ini juga tidak terlalu berat untuk dihadam oleh penonton.

10. Babak akhir seakan-akan memberi bayangan akan ada sequel. Wow! Ada lagikah misi baharu yang perlu diselesaikan oleh mereka?

Filem:  Bulan & Pria Terhebat

Genre : Aksi Komedi

Pengarah: Ghaz Abu Bakar

Penerbit: Nizra Entertainment

Durasi: 1 jam 53 minit

Tarikh Tayangan: 12 Mac 2020


Artikel Lain