suria

“Tangguh atau tidak tetap ada risiko!” - Tayangan filem ‘Bulan & Pria Terhebat’ diteruskan meskipun penularan Covid-19

Pelakon utama filem Bulan & Pria Terhebat Zizan Razak dan Zahirah MacWilson.

KEBIMBANGAN masyarakat terhadap penularan wabak koronavirus atau Covid-19 diharap tidak mengganggu tayangan filem Bulan & Pria Terhebat yang dijangka menemui penonton di pawagam bermula 12 Mac ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainment selaku penerbit iaitu Nik Iruwan Datuk Nik Izani, pihaknya bagaimanapun memandang serius mengenai situasi itu dan akur jika berlaku perubahan saat-saat akhir.

"Kami sentiasa memantau perkembangan situasi ini setiap hari dan setakat ini tayangan akan tetap diteruskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Khir Rahman punca Maya Karin terima ‘lamaran’ Ghaz Abu Bakar - “Kalau hati tak rasa seratus peratus, saya akan tolak”

ARTIKEL BERKAITAN: Zahirah MacWilson tak takut ‘saham’ jatuh selepas kahwin - “Tapi end of the day, semuanya berbalik kepada rezeki masing-masing”

"Bagi pihak kami memang mengharapkan tayangan mengikut tarikh asal disebabkan kalau panggung wayang tak tutup secara teknikal tiada masalah melainkan memang kena tutup, memang tak boleh buat apa.

"Kami sempat berseloroh dengan produksi mengenai perkara ini bahawa tiada masa untuk melengahkan tarikh tayangan... namun semuanya berbalik kepada situasi semasa,” katanya kepada mStar.

Barisan pelakon filem Bulan & Pria Terhebat yang hadir di malam tayangan perdana, Khamis lalu.

Nik Iruwan ditemui semasa sidang media tayangan perdana filem tersebut yang diadakan di MBO, The Starling Mall, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Sementara itu, penerbit bersama Sein Qudsi pula berkata, jika filem itu ditangguhkan tayangan akan menyebabkan mereka perlu bersaing dengan lebih banyak filem lain.

Ini bermaksud mereka tetap akan berdepan dengan pelbagai risiko sama ada menangguhkan atau meneruskan tayangan.

"Kami telah memikirkan beberapa faktor sekiranya filem ini terus ditayangkan mengikut jadual atau ditunda selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Penerbit, Nik Iruwan (kiri) dan Sein (kanan).

"Kalau dilihat sebelum ini pun sudah ada beberapa filem yang menunda tayangan gara-gara Covid-19 dan dijangka tayangannya selepas hari raya. Kalau kami ikut langkah sama, pasti kami akan bersaing dengan filem-filem tersebut.

"Apabila kami teruskan pula, pasti akan berdepan risiko kurangnya penonton ke pawagam. Apa pun kami telah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan timbul,” ujarnya.

Bulan & Pria Terhebat diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar menampilkan barisan pelakon seperti Zahirah Macwilson, Zizan Razak, Maya Karin, Bell Ngasri, Alif Hadi dan Khir Rahman.

Ia merupakan sebuah filem aksi komedi usahasama antara Astro Shaw, Skop Production dan Nizra Production Sdn. Bhd.

Bulan & Pria Terhebat

Artikel Lain