Khir Rahman punca Maya Karin terima ‘lamaran’ Ghaz Abu Bakar - “Kalau hati tak rasa seratus peratus, saya akan tolak”

Maya sudah lama mengimpikan untuk bekerjasama dengan Khir. Foto: ART CHEN.

BAKAT lakonan Maya Karin dalam menjayakan apa sahaja watak sudah tidak perlu dipersoalkan lagi.

Maya, 41, yang bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Bulan & Pria Terhebat ini mengakui hampir menolak tawaran berkenaan.

Perkara itu disebabkan dia tidak pernah bekerjasama dengan pengarah Ghaz Abu Bakar dan barisan pelakon lain dalam filem berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cayalah... biasanya artis nak menunjuk-nunjuk kereta mewah! Maya Karin naik tren ke majlis anugerah curi perhatian

Barisan pengarah dan pelakon Bulan & Pria Terhebat.

"Pada awalnya, memang saya rasa ragu-ragu nak terima tawaran itu. Sebab tak pernah lagi bekerjasama dengan pengarah dan barisan pelakon filem itu.

"Saya pula jenis kalau hati tak rasa seratus peratus, saya akan tolak tawaran. Sebab kalau nak lakukan, saya kena beri segala-galanya.

"Tapi bila difikirkan semula saya tak pernah buat filem aksi, ia sesuatu yang baru dan bagus untuk kerjaya saya, selain watak sangat menarik," ujarnya.

Bagaimanapun, Maya berkata, salah satu sebab dia menerima tawaran itu disebabkan ingin berlakon bersama Khir Rahman.

"Salah satu sebab terbesar saya terima tawaran itu juga adalah disebabkan Khir Rahman. Bila lagi nak dapat berlakon dengan dia yang merupakan seorang pelakon hebat," katanya kepada mStar.

Misi untuk menyelamatkan alam sekitar ini tidak akan terhenti tapi topik akan bertukar la.

MAYA KARIN

PELAKON

Selain Maya dan Khir Rahman, filem itu turut dibintangi oleh Zahirah MacWilson, Zizan Razak, Bell Ngasri dam Aliff Hadi.

Filem aksi yang mempertengahkan hero wanita itu akan mula ditayangkan pada 12 Mac depan.

Dalam pada itu, Maya memberitahu dia tidak menyangkakan sehingga kini masih ada lagi netizen yang membuat cabaran 'Maya Karin Challenge' yang dimulakannya sejak setahun lalu.

Kata pelakon filem Munafik 2 ini, dia tetap akan meneruskan misi menyelamatkan alam sekitar dan kini mahu menumpukan perhatian terhadap nasib Harimau Malaya yang semakin pupus.

Maya memulakan Maya Karin challenge sekitar November 2018.

"Saya terkejut dan tak sangka juga cabaran sungai yang saya mulakan sekitar November 2018 sehingga kini masih ada lagi peminat yang lakukan.

"Misi untuk menyelamatkan alam sekitar ini tidak akan terhenti tapi topik akan bertukar la. Takkan nak bersihkan sungai sampai akhir hayat.

"Sekarang ini, hati saya kepada Harimau Malaya pula. Kumpulan haiwan ini tinggal kurang daripada 200 ekor dan boleh dikatakan populasinya berada di tahap 'darurat'," ujarnya.

Sebelum ini, swafoto berendam dalam sungai yang dikongsi Maya di laman sosial mendapat perhatian warganet untuk memulakan cabaran #MayaKarinChallenge #RiverOfLive.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain