suria

“Dulu kalau berjalan bawa tongkat di bandar besar orang sangka saya nak bergaduh” - Pemain bola cacat penglihatan

Asri berharap filem Eye On The Ball mampu jadi inspirasi untuk penonton.

“SAYA tak boleh bayangkan macam mana nak teruskan hidup sewaktu mula-mula hilang penglihatan dulu.. tapi sebenarnya tiada apa yang mustahil.” 

Ini mesej yang ingin disampaikan Mohamad Asri Arshad, 25 yang memegang watak utama dalam filem kisah benar Eye On The Ball.

Asri yang kehilangan deria penglihatannya sewaktu masih kecil akibat diserang demam panas, kini berjaya mencapai cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

ARTIKEL BERKAITAN: #kakibola mesti kagum, orang buta pun boleh main bola sepak!

Bahkan pemain tengah pasukan bola sepak orang buta kebangsaan ini merupakan antara individu penting yang membawa pasukan ini sehingga bergelar juara Asia Tenggara pada tahun 2015. 

“Bila saya tahu yang saya buta, saya jadi buntu memikirkan masa depan saya. Pada saya ini berlaku kepada orang normal juga, kadang-kadang mereka ada impian tapi kita fikir ia sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Cacat penglihatan bukan penghalang menjadi pemain bola sepak.

“Jadi apabila Wen (pengarah, Chen Yih Wen) berkongsi mengenai filem ini, saya melihat ini sebagai satu platform untuk memberi inspirasi kepada diri sendiri dan orang lain bahawa tiada apa yang mustahil,” ujarnya.

Filem terbitan pasukan kewartawanan penyiasatan R.AGE, daripada Star Media Group ini telah berjaya mendapat pencalonan sebagai Filem Asing Terbaik di Festival Filem Oslo.

Filem kisah benar yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 Mac ini mengisahkan tentang sekumpulan anak muda cacat penglihatan yang berazam untuk mempertahankan kejuaraan mereka di Sukan Para Asean 2017, dan membawa pasukan negara ke kejohanan bola sepak orang buta dunia.

Kekurangan bukan penghalang untuk Asri melalui kehidupan seperti manusia normal.

Asri yang kini sedang menuntut di UiTM Shah Alam, berharap filem dokumentari ini dapat membuka mata orang ramai bahawa golongan kelainan upaya juga mampu mencapai kejayaan.

“Dulu, kalau saya berjalan bawa tongkat di bandar besar seperti Johor Bahru pun orang sangka saya nak bergaduh. Tapi sekarang orang sudah mula ada kesedaran mengenai golongan seperti kami.

“Filem dokumentari seperti ini boleh membantu untuk menunjukkan bahawa golongan OKU juga boleh mencapai sesuatu yang hebat dan kami juga bekerja keras (untuk itu),” ujarnya.

Filem Eye On The Ball akan ditayangkan di pawagam bermula 19 Mac ini.

Orang ramai yang ingin menyatakan sokongan kepada pasukan kebangsaan sambil membantu golongan kelainan upaya di Malaysia, boleh berbuat demikian dengan menonton filem sulung arahan Wen ini.

Sebahagian daripada dana terkumpul hasil jualan tiket bakal disalurkan ke Kelab Bola Sepak Pan-Disability, iaitu sebuah organisasi yang membantu golongan kelainan upaya termasuk kudung dan kecacatan mental, untuk mengubah hidup mereka melalui sukan.

Dana ini akan disalurkan untuk pembina sebuah pusat latihan bola sepak khas lengkap dengan ruang niaga bagi kegunaan masyarakat kelainan upaya. 

Projek Eye On The Ball ini turut mendapat sokongan Yayasan CIMB, yang juga merupakan antara kumpulan terawal yang memperjuangkan nasib komuniti cacat penglihatan di Malaysia. 

Maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh didapati di www.eyeontheballfillm.com.

Eye Of The Ball

Artikel Lain