suria

‘Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior’ Perjuangan Tidak Kesampaian

Ruzana Ibrahim memegang watak sebagai komunis bernama Senah.

FILEM: Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior

PENGARAH: Bade Haji Azmi

PELAKON: Langgi anak Kanang, Mampi anak Limbi, Livonia Guing, Ruzana Ibrahim, Aidil Aziz, Johan As’ari dan Ignas Versinkas

GENRE: Drama/Aksi

DURASI: 116 minit

PENGEDAR: Empire Film Solution Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 16 Mac 2017

APABILA memperkatakan tentang genre sejarah dan perang dalam konteks perfileman tempatan, seharusnya diakui bilangan filem yang diterbitkan memang boleh dibilang dengan jari.

Jika ada sekalipun dan yang sering disebut serta diulang tayang di televisyen pastinya Bukit Kepong (1981) dan Sarjan Hassan (1958). Tidak dilupakan juga filem seperti 1957: Hati Malaya (2007) dan Leftenan Adnan (2000) antara filem kenegaraan yang tidak wajar dilupakan.

Umum mengetahui kurangnya penerbitan filem bercorak sedemikian di negara ini disebabkan penerimaan masyarakat yang merasakan ia sesuatu yang membosankan.

Namun, sebagai karyawan filem, bukankah ia menjadi satu tiket untuk mewarnakan genre yang sering dianggap bosan itu berubah menjadi sebuah filem yang gah dan mampu meniup semangat kenegaraan di kalangan masyarakat?

Hakikatnya, inilah masalah terbesar yang dihadapi untuk menerbitkan filem perang dan sejarah tempatan walhal negara kita memiliki arkib sejarah yang boleh dianggap lumayan untuk dijadikan subjek dalam genre berunsurkan kenegaraan.

Anak mendiang Datuk Kanang anak Langkau, Langgi (depan) memegang watak bapanya dalam filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior.

Dan, masalah ini jugalah yang timbul tatkala penulis menonton filem baharu arahan Badaruddin Haji Azmi atau lebih dikenali sebagai Bade berjudul Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior atau penulis singkatkan menjadi Kanang sahaja.

Sebelum mengulas lanjut, terlebih dahulu, penulis ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerbit filem ini, Zainal Fikri Mohd. Dali menerusi syarikatnya, Tangan Seni Sdn. Bhd. di atas usaha menerbitkan filem Kanang.

Sejujurnya, penulis berasa bangga apabila masih ada penerbit tempatan yang mahu menghasilkan filem bercorak kenegaraan untuk tatapan umum khususnya khalayak muda yang barangkali masih belum kuat semangat patriotisme mereka.

Tidak dinafikan, filem Kanang ini memiliki premis yang cukup bagus dalam mengangkat kisah benar perajurit dari suku kaum Iban itu yang telah berkorban untuk memerangi komunis bagi memastikan keselamatan negara terjamin.

Sebagai rakyat Malaysia, penulis juga mahu melihat sejauh manakah kepahlawanan mendiang Datuk Kanang anak Langkau diangkat dan digambarkan dalam filem ini.

Lakonan Johan As’ari sebagai Lans Korperal Wan Shapuddin Abu Kassim tiada apa yang boleh dibanggakan.

Apatah lagi, kisah hidup beliau tidak banyak yang diceritakan jika hendak dibandingkan dengan bekas pahlawan negara lain.

Namun, pengharapan itu hanya tinggal mimpi sahaja kerana penghasilan filem Kanang tidak mencapai standard seperti mana yang diharapkan.

Penulis tidak menafikan bahawa pada awalnya, filem ini bergerak dengan baik.

Sorotan cerita itu adalah tentang permulaan Kanang menjadi seorang tentera, pengorbanannya meninggalkan isteri yang baharu sahaja dikahwininya dan kemudiannya, peranan dia itu menjadi lebih besar selepas baktinya diiktiraf.

Momentum cerita yang menarik itu tadi kemudiannya terus menjunam secara drastik sehinggakan untuk babak kedua filem Kanang itu bagaikan dihasilkan hanya sekadar mahu menghabiskannya semata-mata.

Pengarah filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior, Badaruddin Haji Azmi atau Bade (baju hitam) sewaktu di lokasi penggambaraan.

Titik tumpu yang pada awalnya berfokus sudah mula lari lalu menjadikan lakon layar filem Kanang ini menjadi lemah dan bosan sehingga penulis sendiri keliru apakah sebenarnya yang hendak dipaparkan dalam filem ini?

Apakah ia tentang semangat juang Kanang anak Langkau dalam pertempuran itu sendiri atau sebaliknya?

Pemaparan watak Kanang anak Langkau yang dimainkan oleh anak mendiang sendiri, Langgi tidak ubah hanyalah sekadar askar biasa, tidak memberikan impak yang seharusnya menjadi besar sehingga mampu membuat penonton terus duduk menonton sehingga tamat.

Dalam erti kata lain, penghormatan untuk Kanang tidak diangkat dengan sewajarnya sehingga ia menampakkan beliau tidak ubah seperti anggota platun lain yang pada hemat penulis, tidak meninggalkan sebarang kesan juga.

Untuk menghasilkan filem perang dan sejarah, ia seharusnya memiliki satu subjek dan latar yang kukuh untuk menjadi sebuah cerita yang mampu memompa adrenalin audiens untuk terus menikmatinya.

Filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior tidak mencapai standard seperti yang diharapkan.

Itu tiada langsung dalam filem Kanang dan ia hanyalah sebuah cerita biasa. Tidak seperti filem Bukit Kepong, Sarjan Hassan mahupun Leftenan Adnan yang kita tahu plot dan titik tumpunya adalah tentang subjek yang ingin diceritakan.

Penulis mengharapkan filem Kanang mampu menjadi setanding dengan filem-filem yang disebutkan itu tetapi malangnya, tidak. Dari perspektif penulis, latar pertempuran itu sendiri tidak cukup kuat untuk menghidupkan keseluruhan jalan cerita filem ini untuk diangkat ke tahap yang selayaknya.

Bahkan, subplot tentang hubungan Kanang dan isterinya, Helen juga tidak dikembangkan dengan baik seolah-olah perhubungan itu berjalan dalam situasi yang hambar.

Sebagai karyawan, ada sebab mengapa lesen kreatif itu diberikan dan seharusnya ia digunakan sebaik mungkin atau semaksimumnya untuk menghidupkan filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior ini lalu diberikan penghormatan terbaik untuk bekas perajurit itu.

Penulis sangat percaya jika kreativiti itu disuntik dengan elemen dramatik secara bijaksana, tidak mustahil Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior mampu menjadi sebuah naskhah yang dibanggakan dan meletakkan ia bersama-sama Bukit Kepong, Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain