suria

Keindahan ‘Last Cab to Darwin’ Dalam Kelas Tersendiri

Michael Canton memberikan lakonan yang cukup mengesankan dalam filem 'Last Cab to Darwin'.

FILEM: Last Cab to Darwin

PENGARAH: Jeremy Sims

PELAKON: Michael Caton, Jacki Weaver, Ningali Lawford, Emma Hamilton dan Mark Coles Smith

GENRE: Drama

DURASI: 123 minit

PENGEDAR: GSC Movies

TARIKH TAYANGAN: 9 Mac 2017

SESEKALI penulis berubah angin dengan memilih untuk menonton filem antarabangsa dari negara lain yang penulis percaya memberikan satu perspektif berbeza dalam konteks penceritaan terutamanya.

Apatah lagi, secara lazimnya, pembikinan filem yang bukannya datang dari Hollywood khususnya, menghidangkan sesuatu yang dapat membuka mata dan minda bahawa filem itu adalah bahasa universal dan mampu dinikmati oleh semua.

Disebabkan itu jugalah, penulis memilih untuk mengulas filem dari Australia, Last Cab to Darwin yang sempat penulis tonton beberapa hari lalu.

Sayugia diingatkan, memandangkan ia bukanlah filem komersial yang ditunjangi pelakon popular, maka, Last Cab to Darwin hanya ditayangkan menerusi GSC International Screens di tiga pawagam GSC di Lembah Klang sahaja.

Bekas calon Oscar, Jacki Weaver memegang watak sebagai Dr. Nicole Farmer.

Penulis juga berharap agar masyarakat di negara ini turut mengambil peluang dengan menonton filem antarabangsa yang barangkali bukan mudah untuk menembusi pasaran tempatan disebabkan beberapa faktor.

Berbalik kepada Last Cab to Darwin, penulis harus katakan bahawa karya arahan Jeremy Sims ini dihasilkan dan diceritakan dengan begitu indah terutama aspek lakon layarnya.

Sementelah filem ini merupakan adaptasi daripada pementasan teater dengan judul yang sama, Sims mengambil peluang tersebut untuk meneroka ceritanya lebih mendalam.

Dari perspektif penulis, Last Cab to Darwin memiliki cerita yang cukup mudah untuk difahami dengan mengenengahkan watak protagonisnya, Rex (lakonan Michael Canton), seorang pemandu teksi yang berasakan hidupnya tidak lagi bermakna selepas disahkan menghidap kanser tahap kritikal dan tidak mempunyai banyak masa lagi.

Lakonan Mark Coles Smith (kanan) dan Emma Hamilton turut memberikan impak kepada perjalanan filem Last Cab to Darwin.

Sehubungan itu, Rex mahu nyawanya dimatikan dengan cepat dan peluang itu dirasakan tiba untuk dirinya selepas membaca satu artikel tentang seorang doktor, Dr. Nicole Farmer (Jacki Weaver) yang di dalam proses untuk mempraktikkan euthanasia di kliniknya.

Dalam erti kata lain, Farmer menawarkan euthanasia kepada mereka yang menghidap penyakit kritikal dan tidak memiliki peluang untuk hidup dengan cara mematikan mereka dengan prosedur yang tidak menyakitkan.

Biarpun dihalang oleh rakan-rakan termasuk jiran yang juga kekasihnya, Polly (Ningali Lawford), Rex tekad dengan keputusannya untuk memandu teksinya merentas sempadan dan negeri sejauh 3,000 kilometer demi  merealisasikan impiannya itu.

Penceritaan filem ini bertambah menarik apabila sepanjang perjalanannya itu, Rex dipertemukan dengan seorang lelaki yang boleh dianggap sebagai penyangak bernama Tilly (Mark Coles Smith) dan seorang jururawat kelahiran Britain, Julie (Emma Hamilton).

Salah satu babak filem Last Cab to Darwin.

Tanpa disedari Rex, perjalanan menuju kematian yang dimahukannya itu telah merubah dirinya untuk menjadi seorang yang lebih positif. Lebih-lebih lagi, selepas mengalami dan merasai pengalaman untuk melihat sendiri kehidupan selain keadaan Tilly dan Julie yang banyak mempengaruhi Rex.

Biarpun masih tebal dengan egonya, namun, selepas peluangnya itu hampir tiba untuk mencabut nyawanya sendiri, Rex akur bahawa sebagai manusia, dia berhak untuk terus menikmati kehidupan sebaik mungkin sehingga waktunya tiba untuk dia meninggal dunia.

Disebabkan itu, penulis menyifatkan Last Cab to Darwin ini sebuah filem indah dari pelbagai sudut dengan lapisan cerita yang dapat menyuntik semangat serta inspirasi buat kita terus menghargai kehidupan.

Penghasilannya dibuat dengan begitu teliti dan setiap babak memiliki momen tersendiri membawa kepada satu cerita ke cerita yang lain dan seterusnya menjadikan Last Cab to Darwin berkembang menjadi sebuah karya dengan jiwanya tersendiri.

Hubungan dan kasih sayang antara Rex (kanan) dan Polly diceritakan dengan cara tersendiri yang memperindahkan lagi cerita Last Cab to Darwin.

Apatah lagi, Last Cab to Darwin mengambil latar belakang kehidupan golongan kelas menengah dengan pelbagai ragam dan situasi yang membuktikan bahawa selagi kita bernama manusia, selagi itulah masalah yang timbul namun, bagaimana kita berfikiran terbuka dan matang menghadapinya.

Ditambah pula, dengan subplot hubungan cinta dan kasih sayang yang tidak berlebih-lebihan tetapi ada ceritanya sendiri antara Rex dan Polly, seorang wanita pribumi Australia menjadikan Last Cab to Darwin berada dalam kelas tersendiri.

Aspek suntingan dan sinematografi turut menyumbang ke arah kecemerlangan Last Cab to Darwin untuk menjadi sebuah filem yang sebenarnya mampu dinikmati oleh semua golongan asalkan memiliki minda yang terbuka.

Bahkan, lakonan semua pemainnya penulis sifatkan berada dalam kelas A biarpun mereka bukanlah pelakon popular yang dikenali ramai kecuali Jackie Weaver yang penulis mengenalinya selepas dua kali menerima pencalonan Oscar.

Buat penonton Malaysia, tidak salah jika sekali sekala mengambil peluang menonton karya negara lain untuk menikmati pengalaman baharu selain mempelajari sesuatu yang mungkin tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Last Cab to Darwin

Artikel Lain