suria

Tiada Istimewanya ‘Kong: Skull Island’

Babak pertemuan James Conrad dan Mason Weaver bersama King Kong tidak berupaya membangkitkan rasa sedih dan sayu.

FILEM: Kong: Skull Island

PENGARAH: 
Jordan Vogt-Roberts

PELAKON: 
Tom Hiddleston, Samuel L. Jackson, Brie Larson, John Goodman, John C. Reilly, Jing Tian dan Toby Kebbell

GENRE:
Aksi

DURASI: 
118 minit

PENGEDAR:
 Warner Bros. Pictures

TARIKH TAYANGAN: 
9 Mac 2017

APABILA
penulis membaca tentang keghairahan Hollywood yang mahu menerbitkan semula kisah tentang beruk gergasi, King Kong, tertanya-tanya juga apa lagi yang ingin mereka persembahkan.

Sementelah, sudah tujuh kali King Kong membuat kemunculan dalam sinema dunia bermula dari filem King Kong (1933) sehinggalah filem terakhirnya yang diarahkan oleh bekas pemenang Oscar, Peter Jackson yang turut menggunakan judul King Kong (2005).

Jujurnya, versi Peter Jackson adalah filem kegemaran penulis yang disifatkan memiliki nostalgianya tersendiri selain emosi dan jiwa yang telah memberikan nyawa terhadap filem King Kong tersebut.

Lalu, apabila King Kong dijelmakan sekali lagi untuk kali kelapan dalam filem Kong: Skull Island yang sudah pun ditayangkan sejak 9 Mac lalu, apakah istimewanya versi kali ini yang menerima sentuhan sutradara, Jordan Vogt-Roberts?

Perkara pertama yang menarik perhatian penulis untuk menonton Kong: Skull Island ialah barisan pelakonnya yang boleh dikatakan ditunjangi oleh pemain handalan termasuk bekas pemenang Oscar, Brie Larson.

Film Kong: Skull Island tidaklah sehebat mana tetapi masih lagi boleh ditonton.

Akan tetapi, sepanjang menonton Kong: Skull Island, entah mengapa filem ini tidak berupaya untuk menarik perhatian penulis dan menganggap tiada istimewanya penerbitan semula filem King Kong kali ini.

Di sebaliknya juga, ia masih boleh ditonton, barangkali perasaan itu timbul memandangkan konsep dan jalan cerita tentang King Kong ini boleh dikatakan hampir serupa dengan filem terdahulu lalu membuatkan penulis merasakan Kong: Skull Island hanyalah sekadar filem biasa sahaja.

Untuk mencipta sebuah filem blockbuster, pelbagai elemen harus dititik beratkan dan dipandang serius agar ia mampu menjadi sebuah karya yang diingati selain memberikan impak tersendiri.

Biarpun Kong: Skull Island berada dalam acuan filem blockbuster, tetapi ia tidak membangkitkan rasa dan perasaan tersebut yang sepatutnya timbul terutama menonton filem yang menampilkan King Kong sebagai subjek utamanya.

Memang tidak wajar untuk membandingkan Kong: Skull Island dengan King Kong versi Peter Jackson kerana kedua-duanya adalah berbeza tetapi jiwa filem itu tidak dirasai sepenuhnya.

Sedikit sebanyak perasaan gerun, gentar dan keterujaan itu harus ada dalam diri penonton tatkala menonton babak-babak membabitkan makhluk aneh lagi ganas serta pertempuran antara King Kong dan makhluk pemangsa pada babak akhir, tetapi ia tidak mampu untuk membangkitkan rasa itu.

Kemunculan Brie Larson sebagai Mason Weaver tidak meninggalkan impak besar seperti diharapkan.

Kekuasaan dan keperkasaan King Kong sebagai beruk gergasi kurang dirasai kali ini. Dalam erti kata lain, King Kong tidak digambarkan dengan begitu hebat seperti mana seharusnya ia menjadi sedemikian rupa.

Malah, babak beremosi sewaktu James Conrad (lakonan Tom Hiddleston) dan Mason Weaver (Larson) bertemu dengan King Kong sehingga mereka mengalirkan air mata juga tidak dirasai penulis.

Penulis melihat watak itu seperti mahu diadakan bagi meraih simpati penonton seperti mana babak yang lebih kurang sama dalam filem King Kong terdahulu walhal hubungan antara Conrad dan Weaver dengan makhluk itu tidak pernah dibina.

Perasaan mereka timbul hanyalah selepas mendengar kisah daripada seorang askar veteran, Hank Marlow (John C. Reilly) yang terperangkap di pulau berkenaan sejak Perang Dunia Kedua meletus tentang siapa sebenarnya King Kong.

Pun begitu, Kong: Skull Island tidaklah hanya sebuah filem blockbuster yang sudah bersedia untuk mengaut keuntungan berlipat ganda tetapi intipati filem ini adalah relevan dan masih berkaitan dengan masalah dunia yang tidak pernah berkesudahan.

Metafora Kong: Skull Island memperlihatkan kerakusan dan ketamakan manusia yang hanya mementingkan diri sendiri dan menceroboh hak asasi golongan lain.

Manusia digambarkan sebagai golongan yang tidak mempedulikan hati dan perasaan makhluk lain yang turut menginginkan kehidupan tenang tanpa sebarang gangguan.

Salah satu babak filem Kong: Skull Island yang kini ditayangkan di pawagam tempatan.

Dari sudut teknikal, Kong: Skull Island mempamerkan hasil kerja sinematografi oleh Larry Fong yang telah menghidupkan naskhah ini seiring dengan latar belakang tahun 70an selain bijak mengeksploitasi keindahan alam semula jadi di Hawaii dan Vietnam.

Menyentuh tentang persembahan lakonan pula, semuanya berada dalam skala sederhana namun, tidaklah seburuk mana. Masing-masing membawakan watak mereka dengan terkawal dan memiliki aura sendiri.

Cuma, kehadiran Larson dalam Kong: Skull Island tidak memberikan sebarang impak dan sekadar penyeri semata-mata walaupun Larson bukanlah berada dalam kategori wanita yang mampu dijadikan objek seksual.

Adalah lebih baik wataknya itu digantikan dengan pelakon baharu yang masih hendak menapak dalam dunia lakonan.

Pastinya dan seandainya umur panjang, penulis menantikan filem King Kong seterusnya, Godzilla vs Kong yang disahkan tayangannya pada tahun 2020.

Apatah lagi, kali ini ia membabitkan dua makhluk gergasi, King Kong dan Godzilla yang akan bertempur sesama sendiri. Sama-sama kita nantikan.

*** Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

‘Kong: Skull Island’

Artikel Lain