suria

‘J Revolusi’ Lengkap Segala Rencah

Antara adegan dalam J Revolusi yang sudah pun ditayangkan di pawagam sejak 2 Mac lalu.
FILEM: J Revolusi

PENGARAH: 
Zulkarnain Azhar

PELAKON:
Zul Ariffin, Izara Aishah, Nur Fazura, Farid Kamil, Azad Jasmin, Omar Abdullah, Iedil Putra, Fatimah Abu Bakar dan Datuk Hans Isaac

GENRE: 
Aksi

DURASI:
 100 minit

PENGEDAR:
 Primeworks Studios Sdn. Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 2 Mac 2017

MAHU atau tidak, penulis harus katakan bahawa kebarangkalian besar inspirasi menghasilkan filem aksi, J Revolusi ini pastinya tercetus selepas melihat kejayaan luar biasa yang dikecapi oleh filem Polis Evo (2015).

Mungkin ada yang tidak sependapat dengan penulis terutama para penerbit filem ini, tetapi sebagai penonton dan pemerhati dunia perfileman tempatan, itu adalah pendapat penulis.

Realitinya juga, tiada filem aksi sebelum kelahiran Polis Evo yang berjaya mencatatkan kutipan pecah panggung sehingga menjadi salah sebuah filem tempatan terlaris sepanjang zaman.

Justeru, hakikat itu harus diterima bahawa setiap filem aksi yang dilahirkan selepas Polis Evo tidak akan terlepas daripada perbandingan.

Pun begitu, pokok pangkalnya, J Revolusi berada dalam acuan sendiri dan tidak mempunyai persamaan langsung dengan Polis Evo dan persamaan itu hanyalah disebabkan kedua-dua filem ini berada dalam genre yang sama iaitu aksi.

Sudah pun genre aksi, pastinya titik fokus filem J Revolusi terletak kepada babak aksi untuk terus memancing penonton melekat di kerusi dari awal hingga tamat tayangannya.

Antara aksi mendebarkan lakonan Zul Ariffin.

Ternyata, sebagai sebuah filem aksi, J Revolusi berjaya menghidangkan apa yang dimahukan oleh penonton yang dapat menghiburkan mereka sepanjang berada di dalam panggung.

Apatah lagi, filem arahan Zulkarnain Azhar ini cuba memberi satu penontonan baharu kepada penonton tempatan tugas dan cabaran yang dilalui oleh pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) yang dikhabarkan kali pertama diketengahkan dalam filem tempatan.

Setidak-tidaknya, adalah juga sedikit pembaharuan dan tidak hanya tertumpu kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja yang sudah terlalu banyak ditampilkan dalam filem tempatan sehingga menjadi klise.

Apabila memperkatakan tentang filem aksi, ada kala tumpuan hanya diberikan kepada babak aksi semata-mata sehingga menjejaskan jalan ceritanya yang langsung tidak memberikan sebarang impak.

Namun, itu tidak berlaku dalam J Revolusi. Sebagai penulis, Alfie Palermo yang juga bekas calon Festival Filem Malaysia (FFM) untuk Lakon Layar Terbaik sebanyak dua kali itu bijak menjalinkan ceritanya dengan babak aksi, drama dan suntikan humor untuk menjadikan ia sebagai sebuah naskhah yang seronok ditonton.

Dalam erti kata lain, J Revolusi tidak hanya memancing penonton dengan babak aksi secara total.

Izara Aishah (kiri) dan Fazura turut menghidupkan 'J Revolusi'.

Tetapi, unsur lain turut disuntik bagi menguatkan lagi filem ini agar tidak tersasar daripada landasannya.

Rempah ratus ini amat diperlukan kerana jika J Revolusi hanya tertumpu kepada kisah UTK (Unit Tindakan Khas) semata-mata ia akan menjadi sebuah filem yang membosankan.

Sehubungan itu, elemen seperti drama dan humor itu diperlukan bagi memberikan rasa yang lebih enak untuk J Revolusi berada dalam acuannya sendiri biarpun penulis cukup yakin bahawa J Revolusi sebenarnya mampu untuk buat lebih baik lagi untuk memberikan sesuatu yang baharu.

Alang-alang namanya filem aksi, mengapa tidak menggunakan peluang yang ada untuk menjadikan J Revolusi sebagai filem aksi yang dapat memberikan impak berganda dalam memberikan penontonan maksima kepada khalayak filem tempatan.

Sepanjang menonton J Revolusi, penulis melihat sebenarnya ada babak-babak aksi tertentu yang dirasakan dapat dilakukan lebih daripada apa yang telah dipersembahkan dalam filem tersebut dan seterusnya dijadikan momen penting untuk diingati.

Cuma, bagi penulis, ada seperkara yang membuatkan penulis tidak begitu suka tentang J Revolusi ialah skrip dan dialognya yang terlalu formal dalam babak tertentu dan kelihatan begitu mengikut skrip.

Tunggak utama J Revolusi. Dari kiri; Zul Ariffin, Izara Aishah, Fazura dan Farid Kamil.

Tertanya juga apakah babak antara seorang bapa (lakonan Omar Abdullah) dan anaknya, Jay (Zul Ariffin) di dalam kereta sewaktu menyerahkan tugasan baharu juga perlu berbahasa formal sedemikian rupa?

Jangan katakan sebagai seorang ketua dan sudah lama berkhidmat dalam UTK membuatkan Chief (gelaran untuk watak Omar Abdullah) tidak mampu bercakap secara tidak formal dengan Jay.

Babak yang penulis rasakan semula jadi adalah sewaktu pertemuan antara Herman atau Skodeng (Azad Jasmin), Eddie (Izara Aishah) dan Jay bersama-sama ibu Skodeng (Fatimah Abu Bakar) di mana keserasian mereka cukup terserlah dan tidak dibuat-buat.

Daripada aspek teknikal pula, seperkara yang cukup jelas dilihat dalam J Revolusi adalah teknik sinematografinya yang mahu atau tidak, harus diakui kelihatan ada sedikit persamaan dengan Polis Evo.

Memandangkan J Revolusi menggunakan khidmat pengarah fotografi, Haris Hue Abdullah yang merupakan pemenang Sinematografi Terbaik FFM dua kali termasuk untuk Polis Evo membuatkan perbandingan itu tidak dapat dielakkan.

Pun begitu, hasil kerjanya tetap kemas dan berada dalam kelas tersendiri lalu meletakkan Haris Hue sebagai salah seorang pengarah sinematografi terbaik ketika ini.

Zul membuktikan dia bukan sahaja sesuai membawakan watak romantik tetapi juga aksi.

Memandangkan juga ‘gula-gula’ J Revolusi terletak kepada Zul Ariffin selaku teraju utama, Haris Hue dilihat banyak menggunakan teknik close up dan medium close up untuk memberikan pleasure viewing untuk audiens terutama wanita dan mungkin juga lelaki.

Menyentuh tentang aspek lakonan pula, positifnya untuk Zul Ariffin adalah dia kini mampu untuk menjadi pelakon aksi dan dia memiliki kelebihan itu selain watak lelaki romantik yang sudah menjadi identitinya.

Entah mengapa, penulis sukakan watak Dian (Nur Fazura) yang penulis percaya mampu untuk dikembangkan dan diteroka lagi seandainya watak itu diberi peluang dalam filem susulan J Revolusi (jika ada).

Ini kerana watak Dian tidak cukup ganas dan jahat dalam menyakinkan penonton semaksimanya. Jika wataknya dikembangkan dengan baik, Dian mampu menjadi femme fatale alaf baharu dalam sinema tempatan.

Begitu juga dengan watak Jiman (Iedil Putra) yang berjaya menimbulkan rasa misteri dan membuatkan penonton tertanya-tanya siapakah dirinya yang sebenar dan lakonan Iedil tidak mengecewakan.

Secara keseluruhannya, J Revolusi tidak menghampakan dan mampu memberikan hiburan buat penonton tempatan yang sememangnya secara umumnya gemarkan filem sebegini.

***Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Tunggak utama J Revolusi. Dari kiri; Zul Ariffin, Izara Aishah, Fazura dan Farid Kamil.
Tunggak utama J Revolusi. Dari kiri; Zul Ariffin, Izara Aishah, Fazura dan Farid Kamil.
J Revolusi

Artikel Lain