suria

'Dollah Superstar' Punya Keistimewaan Tersendiri, Menghiburkan

FILEM: Dollah Superstar 

PELAKON: Awie, Neelofa, Sharnaaz Ahmad, Aziz M. Osman, Lan Pet Pet.

PENGARAH: Kabir Bhatia

GENRE: Komedi/Aksi

DURASI: 90 Minit

PENERBIT: Filmscape Sdn Bhd.

TARIKH TAYANGAN: 2 Oktober 2014

TEMUBUAL penulis dengan beberapa pengarah filem terkenal sebelum ini rata-rata mengakui untuk mengarahkan sebuah karya bertunjangkan genre komedi bukan perkara mudah.

Ini kerana kata mereka, konsep dan penceritaan yang ingin ditampilkan perlu mempunyai kekuatan selain menampilkan komedi yang segar dan bersahaja bagi 
memastikan penonton dapat bergelak ketawa ketika menonton.

Terbukti, biarpun filem komedi berlambak dihidangkan kepada penonton namun hanya segelintir sahaja yang dapat memberi impak kepada penonton dan selebihnya 
hanya dianggap sebagai karya 'sampah'.

Dollah Superstar membariskan ramai pelakon hebat dan terkenal.

Tindakan pengarah terkenal, Kabir Bhatia yang terkenal dengan pengarahan filem dan drama genre romantik dan cinta tampil dengan karya terbaharu berjudul Dollah Superstar  sedikit mengundang gusar sama ada dia mampu menterjemahkan genre berkenaan dengan baik atau sebaliknya.

Bagaimanapun selepas menonton sendiri filem berkenaan baru-baru ini, rasa gundah lenyap kerana Kabir berjaya membuktikan dia seorang pengarah berkaliber dan percubaan kali pertamanya itu sama sekali tidak mengecewakan.

Dollah Superstar secara dasarnya menampilkan plot cerita berbeza iaitu menampilkan kisah seorang gangster yang bercita-cita menjadi pelakon dan dari situ 
segala-gala yang ditampilkan Kabir berjaya mengundang gamat di dalam panggung.

Sepanjang 90 minit filem berkenaan ditayangkan di skrin panggung, penonton termasuk penulis terus diasak dengan pelbagai komedi spontan yang digarap cukup 
sempurna ditambah kekuatan pada jalan ceritanya.

Gandingan Awie dan Sharnaaz punya keserasian.

Semua pemain berjaya merialisasikan komedi yang kebanyakannya dibuat secara spontan - terima kasih kepada pengalaman bertahun-tahun mereka dalam industri yang nampaknya banyak membantu.

Adegan aksi yang ditampilkan juga turut dijalur kemas seperti mana dalam filem aksi lain dan ia sesuatu diluar jangkaan penulis.

Malah penantian selama sembilan bulan Kabir untuk mendapatkan Awie bagi menerajui filem berkenaan menerusi watak Dollah Rimau nyata berbaloi kerana vokalis 
kumpulan Wings itu nyata berjaya menghidupkan watak peranan berkenaan.

Awie begitu bersahaja dalam menterjemahkan sisi gangster yang ada pada dirinya dan pada masa sama menyelitkan unsur humor dalam peranan tersebut.

Tanpa sebarang kostum hebat dan Dollah Rimau digambarkan sebagai seorang yang santai dan gemar memakai singlet, seluar senteng dan selipar namun aura Awie itu sendiri benar-benar menjadi.

Lakonan Neelofa cukup menyakinkan dalam Dollah Superstar.

Dollah Superstar mengisahkan mengenai seorang gangster iaitu Dollah Rimau lakonan Awie yang menyimpan impian untuk menjadi seorang pelakon aksi.

Perjalanan karier lakonan Dollah bermula apabila dia bertemu dengan aktor popular Shah Dazzle (Sharnaaz Ahmad) ketika sedang merompak di sebuah pameran barang kemas.

Dollah meminta Shah Dazzlee untuk menjadi mentornya untuk sebuah filem aksi namun ketika di lokasi penggambaran, Dollah yang bermula sebagai pelakon tambahan mula menunjukkan bakatnya sehingga menyebabkan pengarah menyukainya.

Sejak itu pelbagai kejadian menarik berlaku sehingga Dollah dipilih menerajui filem berkenaan.

Menariknya mengenai filem berkenaan, Kabir secara sengaja atau pun tidak banyak mengupas tentang sisi kehidupan disebalik dunia glamour selebriti yang bukannya seindah disangka peminat.



Namun pendekatan digunakan lebih santai dan bersahaja barangkali mungkin bimbang akan ada pihak terasa hati dengan apa yang dipaparkan malah Kabir dalam satu temubual menegaskan ia sekadar hiburan.

Malah menerusi Dollah Superstar, Kabir turut menampilkan ramai bintang terkenal untuk penampilan istimewa seperti Afida S, Datin Umie Aida, Beto Kusyairi, Nadiya Nisaa dan Cico Harahap.

Sementara itu, penampilan Neelofa dalam filem berkenaan berjaya mencuri perhatian apabila tampil sebagai watak penggoda dan pada pandangan penulis kredibiliti aktres itu sebagai pelakon cukup menyerlah.

Neelofa akhirnya berjaya membuktikan dia sememangnya mempunyai bakat besar sebagai pelakon dan mampu membawa pelbagai peranan.

Selain itu, kemunculan Lan Pet Pet sebagai Dr. Romeo cukup mencuit hati dan bisanya sebagai pelawak berpengalaman masih belum pudar biarpun terdapat pelawak-pelawak baharu sebagai pelapis.

Peminat setia pelawak itu pasti akan terhibur dengan gelagat Lan Pet Pet sekaligus mengubat kerinduan selepas sekian lama dia tidak muncul dalam projek terbaharu.

Dollah Superstar bagi penulis adalah sebuah filem komedi bijak dan spontan namun masih mempunyai pelbagai isi tersirat yang mampu membuatkan kita terfikir sejenak realiti tentang sebuah kehidupan.

Dollah Superstar, Awie, Kabir Bhatia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain