suria

'Ribbit' Selit Nilai Moral Dalam Humor

FILEM: Ribbit

PENGARAH: Mamat Khalid

PELAKON:
 Johan Raja Lawak, Elfira Loy, Aznil Nawawi, Izzue Islam

GENRE:
 Animasi

TARIKH TAYANGAN:
 4 September 2014




SELEPAS mendapat pengiktirafan sebagai filem keluarga terbaik di Festival Filem Integrasi Niagara, Kanada, baru-baru ini, filem animasi Ribbit terbitan anak syarikat KRU Studio iaitu KRU Kartun itu telah diadaptasi ke dalam Bahasa Malaysia.

Ribbit versi Bahasa Malaysia mendapat sentuhan pengarah filem terkenal Mamat Khalid dengan strategi tersendiri.

Filem ini menampilkan barisan artis tempatan popular seperti Johan Raja Lawak, Elfira Loy, Awie, Datuk Aznil Nawawi dan Izzue Islam yang meminjamkan suara mereka.

Lebih unik lagi, Mamat Khalid menggunakan kepelbagaian dialek negeri di Malaysia bagi memberi kelainan terhadap filem animasi tersebut.

Watak utama iaitu Ribbit menggunakan suara pelawak terkenal Johan (Raja Lawak) memberi elemen humor yang menjadi kekuatan filem ini antara daya penarik penonton ke pawagam. Johan juga bijak berjenaka dengan gurau senda yang bersahaja lari daripada skrip sebenar filem itu.

Selain Johan, karakter Siti (Elfira Loy), Kulup (Awie) dan Mat Rompi (Aznil ) turut menarik dan menghiburkan penonton.

Bukan sahaja jalan cerita yang ringan sesuai untuk tontonan seisi keluarga, malah setiap karakter mempunyai kekuatan tersendiri, suara artis-artis popular turut menambah keterujaan penonton.

Daripada sudut plot penceritaan, filem ini bukan sahaja memaparkan humor semata-mata, elemen pengajaran dan moral turut diselitkan sebagai pengajaran kepada penonton cilik.



Menilai daripada segi penceritaan, filem ini perlu diberi pujian kerana di samping memuatkan elemen humor, terselit nilai moral dan pengajaran yang sangat tinggi terutamanya kepada golongan kanak-kanak.

Namun beberapa kelemahan daripada kekemasan grafik perlu diperbaiki terutama pergerakan antara watak animasi tersebut kelihatan kaku dan statik.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada anak tempatan yang berjaya menghasilkan filem animasi yang boleh diletakkan setanding pada peringkat antarabangsa.

Ribbit mengisahkan seekor hiawan, katak terpengaruh dengan cerita fantasi dan bercita-cita untuk menjadi seorang putera raja. 

Pada anggapannya dia perlu mendapatkan puteri manusia dan menciumnya untuk membolehkan dia menjadi seorang putera raja.



Kecelaruan identiti yang dialami Ribbit membuatkannya nekad mencapai cita-citanya dan bertindak mengembara seorang diri untuk bertemu puteri raja manusia.

Ribbit ditemani rakan baiknya, Siti dalam pengembaraannya merentas hutan belantara demi mencapai cita-citanya. 

Dalam pengembaraan tersebut, watak-watak baharu muncul seperti Kulup, Mat Rompi menambahkan lagi kelucuan setiap babak dalam filem tersebut.

Antara pelakon lain yang turut menyumbang suara dalam filem ini termasuk Munir Phyne Ballers (Ollie), Izzue Islam (labah-labah), One Forteen (dukun istana) dan Noorisnainy Ali (puteri manusia).

Filem ini telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 4 September lalu.
Ribbit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain