suria

Shaheizy Sam Penyelamat 'Mamak Cupcake'

FILEM: Mamak Cupcake

PENGARAH: Woo Ming Jin

PELAKON:
 Shaheizy Sam, Siti Saleha, Azad Jazmin, Maria Farida dan Natasha Hudson

GENRE:
 Komedi

TARIKH TAYANGAN:
 28 Ogos 2014


SELEPAS
 muncul dengan filem komedi cinta berjudul Sejoli Februari lalu, Grand Brilliance sekali lagi mempertaruhkan sebuah filem genre komedi terbaharu iaitu Mamak Cupcake.

Filem arahan Woo Ming Jin itu dibintangi pelakon hebat Shaheizy Sam, Siti Saleha, Azad Jazmin, Maria Farida dan Natasha Hudson, yang mengetengahkan isu lelaki mamak cuba menceburi bidang pembuatan kek cawan atau cupcake.

Perjalanan cerita ini bermula dengan baik dan menarik apabila watak utama iaitu MJ lakonan Shaheizy Sam yang merupakan seorang lelaki Melayu hidup dalam keluarga berketurunan mamak.



Begitu juga watak-watak lain seperti karakter yang dibawa oleh Azad Jasmin, Veeransingam dan Accapan dilihat dapat menarik perhatian penonton.

Bagaimanapun, pada pertengahan plot, cerita ini agak klise dan seperti sudah boleh diramal apabila muncul watak penjahat yang cuba melakukan ssabotaj pertandingan cupcake yang disertai oleh MJ. 

Begitu juga babak percintaan antara watak utama iaitu MJ dan Juliana (Siti Saleha) berlaku terlalu pantas dan sementara beberapa jenaka dalam filem ini dilihat terlalu dibuat-buat sehingga menjadi tidak kelakar.

Percubaan pertama penulis skrip M.Zulkifli Abd. Jalil untuk memberikan yang terbaik, namun banyak lubang-lubang plot yang menjadi tanda tanya.

Sementara itu, beberapa babak tidak logik seperti resipi kari kepala ikan boleh membuat cupcake serta aksi pembuatan teh tarik yang keterlaluan sebenarnya memotong 'mood' penonton biarpun pengarah menjelaskan ia hanya sebagai hiburan di luar imaginasi logik seperti yang dilakukan oleh filem komedi barat.

Walau bagaimanapun, secara keseluruhan filem ini dapat menghiburkan penonton dengan lakonan Sam yang berbeza daripada filem-filemnya sebelum ini.



Sam berjaya membawa watak seorang mamak dengan gaya percakapan mamak sebenar, malah perkataan 'alo' yang sering disebutkannya membuatkan penonton geli hati.

Selain itu, terdapat satu babak tarian Bollywood yang menarik perhatian penonton apabila kesemua pelakon menari dalam pakaian tradisional India dengan mengikut rentak muzik Hindustan.

Filem ini turut menampilkan ibu Shaheizy Sam iaitu Khaty Fauziah sebagai penampilan istimewa.

Mamak Cupcake mengisahkan seorang anak jati Penang berketurunan Mamak iaitu MJ (Mohd Jamaludin Mohd) yang mempunyai matlamat hidup yang sangat berbeza apabila dia amat meminati pembuatan kek cawan.

Malangnya, hasrat MJ terhalang kerana terpaksa bertarung dengan permintaan bapanya yang mahukan dia mewarisi perniagaan tradisi keluarga. MJ hampir-hampir berputus asa sehing­galah dia bertemu dengan seorang gadis iaitu Juliana yang mengembalikan semula semangatnya.

Filem Mamak Cupcake mula ditayangkan di seluruh pawagam pada 28 Ogos lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain