suria

[V] Enam saksi bakal dipanggil, Naim Daniel kekal tenang berdepan perbicaraan kes amang seksual

SERAMAI enam saksi pendakwaan bakal dipanggil bagi memberi keterangan dalam perbicaraan kes amang seksual fizikal membabitkan penyanyi Naim Daniel di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Selasa.

Peguam bela yang mewakili Naim, Mohd Irwan Sumadi berkata, pada hari pertama prosiding, pihak pendakwaan telah memanggil seorang saksi iaitu ibu kepada mangsa yang juga pengadu dalam kes berkenaan.

Menurutnya, saksi tersebut telah selesai memberikan keterangan melalui pemeriksaan utama dan kini sedang menjalani proses pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.

Naim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal.

“Hari ini pihak pendakwaan memanggil satu saksi iaitu ibu kepada mangsa. Pemeriksaan utama sudah selesai dan kini masih dalam proses pemeriksaan balas.

“Bagi pihak pembelaan pula, kami masih belum menentukan jumlah saksi yang akan dipanggil,” katanya kepada mStar.

Tambahnya, perbicaraan kes tersebut dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa hingga Khamis, namun tidak menolak kemungkinan tempoh itu akan dilanjutkan bergantung kepada perkembangan semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah benarkan saksi kes Naim Daniel beri keterangan secara online

ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel akui hilang tawaran kerja…   “Setiap ujian hadir untuk mendewasakan saya”

“Setakat ini tiga hari, tetapi kemungkinan besar akan ada tambahan tarikh perbicaraan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Irwan memaklumkan Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 29, berada dalam keadaan baik dan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti dirancang. Dia nampak okey, ceria seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang tekanan,” katanya.

Sebelum ini, Naim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 19 Mei tahun lalu kira-kira pukul 8.56 malam di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Jika sabit kesalahan, penyanyi itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain