SELEPAS kapsyen tanda pagar #curangitupilihanbukankebetulan, bekas isteri pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril sekali lagi menarik perhatian apabila mendakwa anaknya turut bercerita mengenai 'kecurangan' bapa dengan wanita lain.
Tampil menafikan segala dakwaan tidak berasas itu, peguam Syarie yang mewakili Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader menegaskan, tuduhan terhadap anak guamnya itu adalah palsu kerana dibuat tanpa usul periksa dan bukti kukuh.
"Faisal menafikan dia pernah curang. Malah anak guam saya beritahu bekas isterinya suka buat tuduhan tanpa bukti dan usul periksa. Sebenarnya perceraian kali kedua yang berlaku ini juga berpunca masalah sama iaitu dikatakan mempunyai wanita lain sedangkan anak guam saya tidak melakukan perkara sebegitu.

Akberdin memberitahu Faisal menafikan dia pernah curang terhadap bekas isterinya itu.
"Sebagai seorang pemain bola sepak kebangsaan dia akan selalu ke luar negara untuk sertai perlawanan atau latihan. Jadi sudah tentu anak guam saya bertemu dengan ramai orang.
"Malah anak guam saya sendiri beritahu ketika penganjur membawa satu pasukan untuk keluar, pasti ada macam-macam program yang dilakukan, tapi sebagai manusia dia mempunyai pilihan untuk tolak secara baik jika perkara itu tidak elok untuk dilakukan.
"Tambah pula, dia antara pemain yang menjadi tumpuan dan pasti ada ramai 'mata' yang memerhati," katanya kepada mStar.
Menurut Akberdin, beliau mengaku anak guamnya melafazkan cerai sebanyak dua kali kerana sudah hilang sabar dengan sikap bekas isterinya yang suka membuat tuduhan melulu.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Faisal Halim, Nur Syazwani bercerai talak dua
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas isteri Faisal Halim luah syukur selepas bercerai, hashtag curang undang persoalan
"Talak pertama berlaku sekitar jam 1 pagi pada 11 Jun lalu kerana tidak tahan dituduh curang. Namun pada hari sama mereka rujuk,
"Kemudian berlaku lafaz talak yang kedua pada 10 November lalu sekitar jam 4.20 petang kerana dituduh curang sedangkan anak guam saya tidak buat perkara itu.
"Jika diikutkan anak guam saya tak nak bercerai sebab fikir ada anak yang masih kecil, tapi dia juga manusia biasa.
"Apabila kerap kali diungkit benda sama yang tiada asas kukuh, dia juga penat dan bosan hingga mengambil keputusan untuk berpisah," katanya.

Faisal dan Syazwani sah bercerai talak dua pada 28 November lalu.
Terdahulu Syazwani menerusi hantaran di Instagram Story seakan-akan kesal apabila masyarakat menunding jari terhadapnya susulan keruntuhan rumah tangganya.
“Nak sembunyi-sembunyi tapi buat kerja tak ‘clean’, anak yang bercerita bersayang-sayang ‘love you too’ bagai. Masih nak nafikan lagi? Orang tunding aku yang salah, aku yang tak betul,” tulisnya.
Pada 28 November lalu, Faisal dan Syazwani sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.
Untuk rekod, Faisal dan Nur Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Khalish Aryan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


