USAHAWAN Datuk Seri Adnan Abu tidak menyangka apabila impiannya untuk menunaikan umrah di Tanah Suci buat kali pertama bakal tercapai.
Lebih mengharukan, Adnan turut mendedahkan terdapat pihak yang sudi membantu untuk menyelesaikan baki tunggakan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia untuk membolehkan dia membuka sekatan ke luar negara.
"Ada agensi yang tawarkan ke umrah sebab berasa kasihan melihat banyak usaha perniagaan saya gagal hingga saya tidak boleh pergi ke Makkah kerana diisytihar muflis.

Adnan bersyukur ada pihak sudi bantu tunaikan impian ke Tanah Suci.
"Alhamdulillah pagi tadi (Ahad) ketika saya menghadiri kursus umrah, saya dipertemukan dengan seorang usahawan wanita yang menawarkan diri untuk selesaikan tunggakan. Jadi dapatlah saya perbaharui passport dan ke luar negara," katanya ketika dihubungi mStar.
Menurut Adnan jumlah yang perlu dibayar adalah sekitar RM4,000 bagi membolehkan dia mendapat pelepasan ke luar negara selama setahun.
Adnan bagaimanapun enggan mendedahkan identiti usahawan wanita berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Red mohon maaf, akui insiden ditinggalkan Adira di tepi highway kerana salah sendiri… “Fikiran saya bercelaru ketika itu”
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tinggalkan bekas suami tepi ‘highway’, Adira pastikan dulu tempat selamat… “Cukup kami berdua sahaja tahu punca”
Dalam keterujaan, bekas suami kepada penyanyi Adira itu juga berharap peluang berada di Tanah Suci akan dimanfaatkan untuk memohon doa kepada Yang Maha Esa.
"Gementar juga sebab ini kali pertama nak menunaikan umrah. Saya nak ambil peluang doa sebanyak mungkin apabila tiba di sana nanti.
"Ada empat doa saya harapkan. Salah satunya adalah dikurniakan jodoh. Kalau boleh biarlah ada isteri di sisi apabila saya mati nanti.

Adnan berjanji akan terus komited untuk selesaikan baki hutang.
"Saya juga mahu berdoa agar dapat kumpulkan semua anak-anak hidup di bawah satu bumbung," ujarnya.
Selain itu, Adnan juga mahu menjelaskan semua hutang dalam masa terdekat serta mendoakan semua pihak yang telah banyak memberi sokongan sepanjang melalui fasa hidup susah.
Adnan diisytiharkan muflis sejak tahun 2019 susulan gagal membayar hutang berjumlah RM5 juta kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam perniagaan.
Menurutnya hasil semakan terakhir baki tunggakan adalah sekitar RM24,000 selepas dia membuat bayaran ansuran setiap bulan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


