suria

TV3 kesal! Semua selebriti sudah diberi penerangan sebelum ABPBH33 berlangsung tapi Shaheizy Sam tak peka

Penganjur kesal dengan tindakan Shaheizy Sam yang sepatutnya lebih peka mengenai penampilan dalam majlis hiburan.

APA jua yang keluar daripada mulut Shaheizy Sam termasuk permohonan maaf kerana menggantung rokok elektronik atau vape semasa menjadi penyampai dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH33), ia sebenarnya telah mencalarkan reputasi pihak penganjur.

Sebagai artis yang berpengalaman, perkara itu seharusnya tidak berlaku kerana ia menimbulkan persepsi negatif masyarakat apatah lagi ABPBH33 dihimpit kontroversi apabila ada pihak menuntut ia diboikot kerana diadakan ketika pendemik Covid-19 semakin menular.

Pihak TV3 berkata, penganjur sudah bekerja keras agar individu yang menyertai acara itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, namun sikap tidak peka Shaheizy Sam itu merosakkan acara.

ARTIKEL BERKAITAN: Shaheizy Sam mohon maaf, mengaku cuai bawa vape di leher ketika siaran langsung - “Tiada niat promosi... apa yang tergantung ini keperluan saya”

ARTIKEL BERKAITAN: “Usah sembang fasal SOP jika vape pun dipromosikan!” - Shaheizy Sam kena tegur gantung vape di leher ketika 'live' ABPBH33

"Perkara ini adalah amat dikesali pihak penganjur ABPBH. Kami berkerja keras untuk memastikan acara berjalan lancar serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), malangnya insiden ini telah mencalarkan kredibiliti ABPBH33.

"Adalah menjadi tanggungjawab setiap artis untuk memastikan tingkah laku mereka tidak mendatangkan persepsi negatif kepada acara yang dihadiri sekali gus boleh menjejaskan imej artis-artis lain serta industri hiburan secara am, ” kata pihak TV3 dalam satu kenyataan pada Sabtu.



Netizen kecam tindakan Sam bawa vape semasa menyampaikan anugerah kepada pemenang.

Tambah kenyataan itu, semua selebriti jemputan telah diberi penerangan mengenai etika pemakaian dan Shaheizy sebagai artis berpengalaman sepatutnya lebih sensitif mengenai isu tersebut.

"Tidak kira apa alasan yang telah diberikan, Shaheizy Sam yang pernah memenangi gelaran Bintang Paling Popular ABPBH sebanyak tiga kali (ABPBH 2010, ABPBH 2012 dan ABPBH 2014) dan juga sebagai seorang artis yang berpengalaman sepatutnya lebih peka dalam menghormati pihak penganjur, artis-artis lain dan industri hiburan serta penonton di rumah," katanya.

Suami kepada pelakon Syatilla Melvin ini menerima kecaman netizen dan teguran daripada pengendali akaun Facebook Public Health Malaysia (PHM) kerana menggantung rokok elektronik atau vape di leher ketika menyampaikan anugerah semasa majlis ini bersiaran langsung di TV3 pada malam Jumaat.



Shaheizy Sam buat permohonan maaf.

Pengendali akaun berkenaan mempersoalkan tanggungjawab pihak produksi tidak menyaring penampilan selebriti tersebut sebelum bersiaran secara langsung.

Laman Facebook komuniti kesihatan itu turut menyifatkan tindakan pelakon Polis Evo itu telah mempromosikan penggunaan vape dalam kalangan masyarakat yang mana ia bukan budaya sihat.

Shaheizy bagaimanapun tampil membuat permohonan maaf dan mengakui kecuaian diri apabila terlalu fokus untuk memberikan yang terbaik sehingga terlupa menanggalkan alat elektronik itu sebelum naik ke pentas.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain