suria

Fazura lega! Bebas dakwaan langgar kontrak, produk dipromosi rupa-rupanya tidak sah

Fazura dan Universal Music Sdn Bhd bebas tuntutan saman akibat dakwaan langgar kontrak.

PELAKON Nur Fazura dan syarikat rakaman Universal Music Sdn Bhd bebas daripada dakwaan melanggar perjanjian selepas pemilik syarikat Maydan Trading gagal dalam samannya terhadap selebriti itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Firuz Jaffril menolak tuntutan saman yang difailkan Narhamdan Abd Malek selaku plaintif ketika membuat keputusan berkenaan.

Mohd Firuz berkata tiada sebarang pelanggaran kontrak antara plantif dengan Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Shariffudin selaku defendan pertama.

ARTIKEL BERKAITAN:Fazura dibayar RM156,000, disaman gagal promosi Q-Tab secara eksklusif

Tambah Mohd Firuz, keterangan daripada saksi plaintif jelas menunjukkan bahawa Nur Fazura, yang dilantik sebagai duta produk 'Q Tab' telah menjalankan tugasnya untuk mempromosikan produk berkenaan.

"Kontrak dalam kes ini hanya membabitkan plaintif dengan defendan kedua, iaitu Universal Music. Tindakan plaintif menyatakan terdapat pelanggaran kontrak adalah tidak tepat kerana kontrak berkenaan telah ditamatkan oleh plaintif sendiri," katanya.

"Keterangan daripada seorang lagi saksi plaintif yang merupakan pegawai di bahagian farmasikal turut menyatakan bahawa produk yang dipasarkan oleh plaintif menyalahi undang-undang kerana mengandungi bahan terlarang. Ini bermakna plaintif telah memasarkan produk yang salah dan mengakibatkan kontrak itu juga adalah tidak sah.



Fazura hadir ditemani suaminya Fattah Amin.

"Oleh kerana sesuatu kontrak itu ditakrifkan tidak sah, maka kerugian yang dialami oleh plaintif dikira sebagai belanja hangus. Oleh itu, tuntutan plaintif ditolak dengan kos," katanya.

Plaintif turut diarahkan membayar kos masing-masing RM40,000 untuk setiap defendan.

Narhamdan Abd Malek, yang memiliki dan menjual produk kesihatan iaitu ‘candy’ yang boleh dikunyah dikenali sebagai 'Q Tab' untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku memfailkan saman pada 16 Dis 2017 dengan menamakan Nur Fazura, 37, dan Universal Music sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, Narhamdan selaku plaintif mendakwa pada 10 Ogos 2017 terdapat perjanjian antara beliau dengan Universal Music supaya Nur Fazura memasarkan produk 'Q Tab' dalam tempoh enam bulan melalui media sosial, khususnya Instagram milik pelakon itu selain Nur Fazura perlu mengambil gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk berkenaan.



Fazura lega bebas tuntutan saman syarikat pengeluar produk Q Tab.

Plantif mendakwa selepas beliau menandatangani perjanjian pada 10 Ogos 2017 untuk perkhidmatan defendan pertama (Nur Fazura), plaintif telah membayar RM100,000 kepada defendan kedua (Universal Music) dan wang RM56,000 turut dibayar pada 24 Ogos tahun sama, mengikut syarat perjanjian dipersetujui.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa pada akhir September 2017, Nur Fazura telah melancar dan memasarkan produk kesihatan dan kecantikan berasingan iaitu 'Trudolly’ 'TruBeauty' sepanjang tempoh perjanjian berkenaan.

Narhamdan mendakwa, akibat pelanggaran yang berlaku, dia mengalami kerugian selain mendakwa penjualan produk 'Q Tab' telah berkurangan.

Oleh itu, Narhamdan turut menuntut pembayaran balik RM156,000 daripada kedua-dua defendan, ganti rugi RM141,755.61 kerana pelanggaran kontrak, faedah dan kos.

Pada 29 Januari 2018, Nur Fazura dalam penyataan pembelaan mendakwa beliau tidak pernah memasuki apa-apa perjanjian dengan plaintif, tidak terikat serta tidak mempunyai sebarang kontrak perjanjian dengan plaintif.

Dalam prosiding hari ini, Nur Fazura diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Universal Music diwakili peguam Wilson Lim serta Narhamdan pula diwakili peguam Dzaki Ezwan Baharin.

Sementara itu, Nur Fazura, yang ditemani suaminya, Fattah Amin atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin meluahkan rasa syukur terhadap keputusan mahkamah yang memihak kepadanya.

"Kes ini berlanjutan lebih dua tahun dan dalam tempoh itu saya dituduh melanggar perjanjian kontrak. Ternyata mahkamah telah membuktikan kontrak itu adalah tidak sah dan dinyatakan juga bahawa produk itu adalah haram dan apa yang didakwa oleh plaintif adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

"Saya bersyukur semuanya telah selesai dan keadilan akhirnya memihak kepada saya. Saya akan mengambil iktibar atas apa yang berlaku. Produk ‘Trudolly' juga tiada kena mengena dengan kes ini," katanya.

Fazura, Fattah Amin

Artikel Lain