suria

“Hanya menteri saja yang boleh pecat saya!” - Hans Isaac tidak tunduk desakan enam persatuan, tiada masalah dengan Ahmad Idham

Hans Isaac enggan letak jawatan kerana desakan enam persatuan.

PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac tidak akan tunduk dengan desakan enam persatuan seni yang mahu beliau meletakkan jawatan dalam agensi berkenaan.

Hans berkata, dia hanya meletakkan jawatan jika arahan itu dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham ‘angkat kaki’, mohon tamat kontrak sebagai CEO Finas setahun lebih awal

ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac ‘tekan’ Ahmad Idham? Persatuan seni bongkar sikap Pengerusi Finas

"Mereka ini bukan mewakili keseluruhan suara ahli, tetapi ia datang dari segelintir individu. Malah ada di antara mereka menghantar mesej kepada saya, mengatakan bahawa mereka tidak tahu tentang isu itu.

"Perlantikan saya dibuat oleh menteri saya tidak akan tunduk dan hanya menteri saja yang boleh pecat saya.

"Kalau betul menteri pecat, saya akan hormat dan setidak-tidaknya saya tinggalkan Finas dengan tugasan yang saya sudah selesaikan" katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media yang diadakan di kompleks Finas, Hulu Kelang, Selangor pada Khamis.

Hans nafi mempunyai masalah dalaman dengan Ahmad Idham.

Pada Selasa, enam persatuan artis iaitu Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (Profima), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mendesak Hans dan Gobind meletak jawatan selain mendakwa mereka memiliki kepentingan peribadi dalam pentadbiran Finas.

Persatuan seni itu mendakwa Hans telah menyalah guna kuasa dengan mencampuri bidang kuasa Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Dalam pada itu, Hans turun menafikan tuduhan bahawa dia memberi tekanan kepada Ahmad Idham sehingga membuat keputusan memendekkan tempoh perkhidmatan.

Dia juga akan mengambil tindakan terhadap enam persatuan yang melemparkan tuduhan tersebut jika gagal memberi bukti kukuh.

"Saya dan CEO Finas masih berkomunikasi dan tidak ada isu.

"Saya seorang yang berintegriti dan saya tidak pandai tentang hal lain melainkan integriti. Jadi jika tiada kebenaran dalam tuduhan-tuduhan tersebut saya akan mengambil tindakan," ujarnya.

Sementara itu, Hans turut menafikan dakwaan beberapa pihak mengenai dia dan ahli lembaga pengarah menghabiskan RM100,000 untuk melancong di Singapura, baru-baru ini.

Katanya, kunjungan mereka ke negara itu bertujuan membawa masuk pendapatan RM90 juta ke dalam industri seni tanah air.

Hans hanya akan melepaskan jawatan atas arahan menteri.

“Kami ke sana atas urusan kerja dan perbelanjaan adalah di bawah RM50,000. Kami cuba berjimat apabila menggunakan penerbangan tambang murah selain menggunakan Grab,” katanya.

“Kunjungan itu memerlukan ahli lembaga pengarah ke negara berkenaan. Kami menerima jemputan pada saat akhir dan jika kakitangan Finas ke sana, prosesnya memakan masa yang lama,” katanya.

Ahmad Idham sebelum ini dilantik sebagai CEO Finas pada 14 Mac lalu.

Pelantikan pengarah filem 'Jangan Pandang Belakang' adalah dikuatkuasa bagi tempoh dua tahun dan berkuatkuasa pada 11 Mac lalu.

Bagaimanapun pada Isnin, Finas menerusi satu kenyataan meluluskan permohonan Ahmad Idham untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya kepada 10 Mac depan atas sebab peribadi.

Artikel Lain