suria

Langgar Undang-Undang Keluarga Islam, rakan baik bekas isteri Dai Farhan buat aduan kepada Jais - “Tindakan dia cemar agama Islam”

Dai Farhan berkahwin dengan wanita dikenali sebagai Dr Aireen di Makkah dan menceraikan isterinya Fatin (kiri) menerusi rakaman suara.

KEMELUT rumah tangga pendakwah bebas Da’i Nik Farhan nampaknya belum menemui titik noktah apabila rakan baik kepada bekas isteri pertamanya iaitu Nafsarah Maliki atau lebih dikenali sebagai Ches Al-Maliki memfailkan aduan terhadap pendakwah terbabit atas dakwaan melanggar Undang-Undang Keluarga Islam.

Menerusi aduan itu, Nik Farhan didakwa telah mengamalkan poligami iaitu berkahwin dengan isteri kedua bernama Noorainul Naqim Mohd Radzi tanpa kebenaran mahkamah dan melanggar Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

ARTIKEL BERKAITAN: Da'i Farhan dedah 18 wanita ajak kahwin terpaksa tolak! - “Calon ke 19 saya tiada kekuatan nak tolak kerana di Makkah”

ARTIKEL BERKAITAN: “Inilah perpisahan yang disebut membahagiakan” - Da'i Farhan, Fatin pula sudah maafkan walau tidak mampu melupakan

Menurut peguam syarie Datuk Hazizah Kassim, semasa menjadi suami yang sah kepada Fatin Nurul Ain Mat Aris, Nik Farhan juga telah menceraikan isteri dengan talak satu di luar dan tanpa kebenaran mahkamah.

Chess (kiri) bersama peguam syarie Hazizah Kassim (tengah).

“Maka Nik Farhan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 125 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 yang menjadi kesalahan suami menceraikan isteri luar mahkamah tanpa kebenaran.

“Ini merujuk kepada tindakannya yang mengamalkan poligami dengan isteri kedua tanpa kebenaran dari mahkamah yang melanggar seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Jika sabit kesalahan Nik Farhan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali" katanya kepada mStar.

Laporan itu dibuat Ches di bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada Khamis.

Nik Farhan didakwa melanggar Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan terjumlah kepada kesalahan jenayah di bawah Seksyen 124 di bawah enakmen sama yang memperuntukkan hukuman bagi Poligami Tanpa Kebenaran Mahkamah.

Dai menceraikan isteri pertama menerusi rakaman suara di aplikasi Whatapps.


Selain itu, menurut Hazizah, Nik Farhan yang mempunyai latar belakang sebagai ikon pendakwah telah melakukan perbuatan yang mencemarkan agama Islam.

“Apa yang dilakukan Ches pada hari ini adalah untuk menghentikan insiden-insiden yang dilihat boleh merendahkan dan penghinaan terhadap agama Islam.

“Jika kita teliti, Nik Farhan juga telah melakukan penghinaan dan menyebabkan agama Islam dipandang hina melalui perkataan, perbuatan dan tulisan.

“Tindakan itu boleh dilihat berdasarkan kenyataan Nik Farhan di media sosial yang seolah-olah mempersendakan dan mencemarkan kesucian agama Islam.

“Selain itu, ianya diharap dapat memberi pengajaran kepada pendakwah lain di luar sana agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Ches memberitahu dia belum menerima sebarang permohonan maaf daripada pihak terbabit seperti yang dituntutnya sebelum ini.

Pada 28 November lalu, Nik Farhan membuat laporan polis dan tuntutan saman terhadap Ches yang juga rakan baik kepada bekas isterinya.

Dai Farhan menerima kecaman berikutan kontroversi perkahwinannya.

Ia dibuat Farhan atas dakwaan wanita berkenaan (Ches) dikatakan sudah melakukan fitnah terhadapnya secara menulis surat terbuka mendedahkan konon perkahwinan Farhan bersama isteri kedua dibuat tanpa pengetahuan isteri pertama.

Ches menerusi sebuah kenyataan kemudiannya memaklumkan saman fitnah yang dibuat terhadapnya telah ditarik balik.

Kata Ches, maklumat itu disampaikan melalui keluarga Fatin dan Ches kemudiannya menuntut agar pihak terbabit membuat kenyataan dan permohonan maaf secara terbuka.

Dunia hiburan sebelum ini dikejutkan dengan pendedahan Nik Farhan menikahi seorang janda anak lapan yang dikenali sebagai Dr Aireen di Makkah.

Berdasarkan salah satu laporan mStar sebelum ini, Nik Farhan berkata, tuduhan berkahwin secara sembunyi itu tidak betul sebaliknya dia sudah memaklumkan kepada bekas isteri pertama dan keluarganya.

Pendakwah ini juga berkata, selama ini sudah 18 wanita mengajaknya untuk berkahwin namun wanita ke 19 iaitu Dr Aireen berjaya membuat hatinya terbuka dan menerima hasrat itu.

Hasil perkongsian hidup dengan Fatin, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 1 tahun 4 bulan, sementara wanita ini sedang hamil 8 bulan.

Artikel Lain