suria

“Sudah... sudahlah, jumpa perempuan depan Kaabah tak semestinya jadi isteri!” - Ridhuan Tee tegur ustaz selebriti rosakkan imej Islam

Prof. Dr Ridhuan Tee menegur sikap segelintir pendakwah muda yang mencipta kontroversi sehingga mencemarkan nama Islam.

PENDAKWAH bebas, Prof. Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menegur segelintir ustaz selebriti supaya menjaga tingkah laku dan akhlak agar tidak merosakkan nama Islam.

Menurut Ridhuan, kontroversi membabitkan hal rumah tangga dengan memberikan pelbagai alasan tidak masuk akal sedikit sebanyak akan menjejaskan imej agama Islam.

"Kebelakangan ini jadi lemas dan nak muntah pun asyik membaca berita kisah-kisah kontroversi segelintir pendakwah yang lahir daripada program realiti seperti Program Pencetus Ummah (PU), Dai dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima program Islamik lahirkan pendakwah selebriti, ramai juga popular dengan pelbagai isu!

ARTIKEL BERKAITAN: “Berhenti guna nama ustaz untuk memuliakan diri!” - PU Amin kecewa tugas dakwah tercemar kerana kontroversi

"Hebat sangatkah mereka ini sehingga segala apa yang berlaku kepada diri mereka dan keluarga perlu diperkatakan dalam khalayak. Nak kata mereka ini hebat dalam dunia dakwah, tidak juga... merosakkan imej Islam ada!

Ridhuan Tee menulis teguran terbuka di laman Facebook miliknya.

"Apabila dah terkenal dan bergelar pendakwah, jagalah perangai elok-elok. Jangan buat perangai pelik-pelik sehingga merosakkan Islam. Kamu nak kahwin lebih daripada satu, kamu punya hal. Kahwinlah baik-baik, tak usah buat benda yang pelik-pelik seperti orang jahil. Sudah-sudahlah dai dan pendakwah... cukuplah! Jumpa perempuan depan kaabah tak semestinya jadi isteri!," katanya.

Ridhuan berkongsi nasihat dan pandangannya itu menerusi laman Facebook peribadinya, baru-baru ini.

Sementara itu, Ridhuan turut meminta pendakwah muda supaya menuntut lebih banyak ilmu berkaitan agama dan tidak hanyut dengan dunia glamor semata-mata.

Nasihat saya kepada semua pendakwah tunjukkan contoh yang baik. Khalayak nampak Islam pada diri kamu. Jika kamu rosak, tempiasnya turut terkena kepada imej Islam!

Prof. Dr Ridhuan Tee

Pendakwah Bebas

Tambahnya, sebagai pendakwah mereka menjadi rujukan kerana membawa imej Islam dan isu sedemikian akan membuka peluang kepada musuh agama untuk menjatuhkan Islam.

"Nasihat saya kepada semua pendakwah tunjukkan contoh yang baik. Khalayak nampak Islam pada diri kamu. Jika kamu rosak, tempiasnya turut terkena kepada imej Islam. Rosakkan agama suci kita. Musuh-musuh Islam sentiasa guna senjata ini.

"Jika terlalu ghairah nak kahwin lain buatlah dengan cara yang betul. Jangan sensasikan dan kontroversikan. Jangan sensasikan perceraian dengan isteri pertama. Kasihan mereka. Malang sekali bila diceraikan ketika hamil. Begitu juga dengan nota WhatApps. Lepas itu, viralkan dalam laman sosial.

Sebelum ini, PU Amin turut menegur sikap segelintir pendakwah muda.

"Dunia realiti TV bukanlah platform untuk menonjolkan diri tetapi adalah amanah. Makin ramai orang kenal, makin besar amanah. Justeru, jangan terlalu ghairah kalau dapat masuk TV. Dunia sebenar pendakwah adalah ilmu. Tuntutlah ilmu yang begitu luas, melebihi air di lautan. Yang ada pada kita mungkin setitik dua. Program realiti yang kita menangi sekadar hafalan, bukan dunia sebenar," ujarnya.

Sebelum ini, beberapa nama pendakwah muda terpalit dengan isu rumah tangga antaranya PU Abu dan Da'i Farhan.

Kontroversi membabitkan dua ustaz selebriti ini menyebabkan beberapa netizen menyelar dan memberikan pandangan negatif terhadap kerjaya pendakwah.

Ridhuan Tee, Dai Farhan, PU Abu

Artikel Lain