suria

Lima program Islamik lahirkan pendakwah selebriti, ramai juga popular dengan pelbagai isu!

Barisan bekas peserta program pencarian pendakwah muda; dari kiri, PU Abu, PU Amin, Da'i Syed dan Da'i Farhan.

KEMUNCULAN program-program realiti berbentuk dakwah mendapat sambutan masyarakat yang dianggap satu gerakkan dalam menyuburkan ajaran Islam di negara ini.

Sejak tahun 2010, beberapa stesen televisyen mula mengatur langkah dengan menerbitkan pelbagai rancangan berbentuk keagamaan bagi menarik lebih ramai penonton yang gemarkan program sedemikian.

Pencarian pendakwah muda ini dilihat berjaya apabila ada bekas peserta meneruskan kerjaya sebagai guru agama dan pendakwah bebas selepas tamat program berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ridhuan Tee tegur peserta Pencetus Ummah; “Ilmu tidak ke mana, cuma pandai bercakap dan lawak bodoh”

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta mualaf cipta sejarah juarai Da'i Musim Keenam

Kali ini mStar senaraikan lima program realiti berbentuk keagamaan yang berjaya melahirkan ramai pendakwah muda di Malaysia.

1. Pencetus Ummah (PU)

Program Pencetus Ummah diterbitkan untuk mencari pendakwah berkebolehan dan versatil, disertai oleh 12 peserta lelaki dari seluruh pelosok negara yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza dan menarik. 

Program ini diterbitkan dengan bermatlamat untuk menyebarkan syiar Islam. Para peserta akan dibimbing, dipantau dan diberi tunjuk ajar oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang agama.

Pencetus Ummah lahirkan ramai pendakwah muda berkaliber.

Pencetus Ummah bersiaran di Astro bermula pada tahun 2013 dan telah berlangsung selama empat musim.

Antara nama bekas peserta yang berjaya sebagai pendakwah ialah PU Azman, PU Amin, PU Riz, PU Rahmat, PU Syed dan ramai lagi.

2. Da'i Pendakwah Nusantara

Da'i Pendakwah Nusantara adalah rancangan televisyen realiti keagamaan yang disiarkan di TV3 sejak 1 April 2013 dan berjaya diterbitkan sehingga musim keenam (2018).

Kebanyakan peserta yang terpilih merupakan mahasiswa dan mahasiswi daripada universiti tempatan yang telah melalui proses ujibakat yang diadakan di kampus.


Juara Da'i 2018, Muhammad Adam Muhibullah Abdullah (tengah).

Antara nama bekas peserta yang berjaya sebagai pendakwah ialah Da'i Farhan, Da'i Syed, Da'i Hakim, Da'i Niezal, Da'i Hamidah, Da'i Hidayu dan ramai lagi.

3. Imam Muda

Imam Muda Astro Oasis merupakan program realiti anjuran Astro Oasis dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). 

Ia telah dirasmikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir Baharom di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor pada 11 Mac 2010.

Imam Muda jadi penggerak program realiti dakwah di Malaysia.

Musim pertama menyaksikan Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan muncul sebagai juara. 

Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza atau lebih dikenali sebagai Hassan telah dinobatkan sebagai juara program realiti pencarian Imam Muda musim kedua yang berlangsung pada tahun 2011 dan Imam Muda Jabbar (Juara musim ketiga).

Menerusi program ini kesemua peserta dihimpunkan di sebuah asrama selama tiga bulan bagi mempelajari dan memahami tentang hal-hal keagamaan dan kepimpinan Islam dari tokoh-tokoh agama serta pendakwah Islam terkemuka yang bertauliah dan berpengalaman.

4. Ustazah Pilihan

Astro meneruskan langkah memperkenalkan program keagamaan pencarian pendakwah muda wanita dengan menerbitkan program Ustazah Pilihan.

Rancangan realiti ini memulakan siaran musim pertama pada tahun 2011 menyaksikan peserta Ustazah Firus Akhtar Mohamad Bohari diangkat sebagai juara.

Ustazah Pilihan merupakan program mencungkil bakat dakwah dalam kalangan wanita.

Ustazah Pilihan bagaimanapun hanya berlangsung selama satu episod dan program ini juga menerima kritikan sesetengah pihak yang kurang senang dengan idea program berbentuk sedemikian membabitkan penyertaan kaum hawa.

5. Solehah

TV Alhijrah tampil dengan program Solehah di mana menjadi salah satu rancangan pendidikan Islam tidak formal yang mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita terhadap agama, bangsa dan negara. 

Program bersiaran pada tahun 2011 itu mendapat sokongan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Bin Haji Baharom (B) yang berharap ia mampu melahirkan barisan muslimah yang akan menggalas tanggungjawab sebagai role model kepada wanita masa kini.

TV Alhijrah muncul dengan program Solehah mencari pendakwah wanita.

Seramai 10 peserta terpilih dan tiada sebarang penyingkiran dilakukan bagi memastikan kesemua peserta melalui sesi pembelajaran dan keluar serentak sebagai barisan muslimah yang diiktiraf.

Artikel Lain