suria

Metafora penuh emosi hidup Dafi, rasa diri seperti tidak berguna... “Dunia tetap sama tanpa saya”

Dafi akui pernah rasa diri sendiri tidak berguna.

PENYANYI Dafi tampil berkongsi pengalaman peribadi berdepan titik terendah dalam hidupnya yang diterjemahkan secara metafora menerusi pementasan teater berjudul Projek Tentang Rasa.

Menurut Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 38, pementasan itu mengangkat kisah besar tentang dirinya ketika berdepan tekanan emosi dan kekeliruan dalam mencari arah tuju kehidupan.

“Memang ada fasa dalam hidup yang saya rasa sangat down. Kalau nak cakap fasa paling teruk, saya sendiri tak pasti bila sebenarnya.

Dafi pernah berdepan dengan tekanan emosi.

“Apa yang berlaku itu menunjukkan tahap tekanan yang saya alami. Ia disampaikan secara metafora dan Alhamdulillah saya masih ingat Tuhan, jadi saya tidak sampai melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

“Keinginan itu tidak pernah ada, tetapi pemikiran ‘what if’ selalu terlintas. Sebab orang selalu kaitkan, kononnya bila hidup selesa, kita tak boleh stres. Hakikatnya, kita semua manusia dan tekanan setiap orang itu berbeza,” katanya kepada mStar.

Dafi berkongsi perkara itu ketika sesi latihan bagi pementasan Projek Tentang Rasa yang berlangsung di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), Petaling Jaya, Selangor, pada malam Khamis.

Berkongsi lanjut, persoalan tentang tujuan hidup adalah antara perkara yang sering bermain di fikiran selain beranggapan keberadaannya tidak memberikan sebarang manfaat kepada orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Diejek kerana berat badan, Dafi menangis dalam bilik air... Pernah ambil jalan pintas makan ubat kurus

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Dafi nasihat rakan artis jangan perlekeh bayaran rendah... “Rezeki sikit bagi kita mungkin banyak pada orang lain”

“Titik terendah dalam hidup saya bukanlah sampai terfikir untuk membunuh diri, tetapi saya mula mempersoalkan apa gunanya kewujudan di dunia ini.

“Saya rasa seolah-olah tidak menyumbang apa-apa kepada sesiapa. Dalam keluarga, saya rasa seperti tiada peranan. Dalam industri pula, saya tertanya-tanya sama ada apa yang saya buat itu memberi makna atau tidak, sama ada orang suka atau tidak.

“Semua persoalan itu bermain di fikiran sehingga saya rasa, jika saya ada atau tiada pun, dunia tetap sama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dafi memberitahu perasaan tersebut turut dipengaruhi oleh perbandingan dirinya dengan ahli keluarga lain yang dilihat lebih berjaya dalam bidang masing-masing.

Antara pelakon dan krew yang terlibat dalam Projek Tentang Rasa.

“Pemikiran itu memang pernah ada untuk satu tempoh. Mungkin kerana saya melihat ayah serta adik-beradik saya yang berjaya dalam bidang masing-masing, dan merasakan diri saya tidak sampai ke tahap mereka.

“Saya sebenarnya sudah diberi peluang lebih awal, mula bekerja, masuk Akademi Fantasia dan sebagainya, tetapi ketika itu saya gagal mensyukuri apa yang ada dan lebih fokus kepada apa yang saya rasa tidak miliki. Itu kesilapan saya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, pementasan Projek Tentang Rasa akan dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre, Petaling Jaya, Selangor pada 6, 7 dan 8 Februari ini.

Selain Dafi, antara pelakon lain yang turut membarisi pementasan berkenaan ialah Zaid Erakad, Adriana Adnan, Syazwan Razak, Maryam Tarmizi, Amir Mirza dan Syawal Azrai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain