suria

Diejek kerana berat badan, Dafi menangis dalam bilik air... Pernah ambil jalan pintas makan ubat kurus

Dafi pernah diejek kerana berbadan besar sewaktu di bangku sekolah.

PERNAH diejek kerana berbadan besar membuatkan penyanyi Dafi berasa fobia setiap kali merasakan berlaku perubahan pada bentuk tubuhnya. 

Mengimbas kembali pengalaman pahit itu, Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri, 37, mengakui kata‑kata sinis sebegitu masih meninggalkan kesan mendalam.

"Saya pernah mencapai berat 97 kilogram. Orang tanya mengenai saiz pinggang dan berat badan. Apabila saya cakap, semua gelak. Saya pun gelak sekalilah. Tetapi, apabila balik rumah, saya nangis dalam bilik air. Saya sudah pernah rasa kena 'body shaming'.

Dafi pernah melakukan diet ekstrem.

"Saya fikir ini suatu perbuatan (body shaming) yang patut dijauhkan. Jadi, mungkin saya belum atasi fobia itu lagi. Sebab kata-kata tajam macam pisau itulah saya belum lupa sepenuhnya," katanya kepada mStar. 

Dafi juga memberitahu pengalaman itu membuatkan dia sentiasa berhati‑hati untuk mengawal berat sehingga sehingga sanggup melakukan diet ekstrem. 

Malah dia juga tidak menafikan pernah mengamalkan pengambilan ubat kurus kerana percaya ia boleh menjadi jalan pintas. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Dafi nasihat rakan artis jangan perlekeh bayaran rendah... “Rezeki sikit bagi kita mungkin banyak pada orang lain”

ARTIKEL BERKAITAN: Sering dilihat ke hospital, Dafi jawab dakwaan hidap kanser... Syukur badan semakin berisi

"Saya memang jenis macam tu, kadang-kadang kalau saya berdiet cara yang tak berapa sihat. Terlalu ekstrem. 

"Saya dah pernah melalui fasa-fasa makan ubat (ubat kurus) ni. Dulu 10 tahun hari-hari saya makan ubat diet. Saya campur dua tiga jenis, memang turun berat. Tapi cepat turun cepat naiklah (berat badan). 

"Itu pengajaranlah, jangan melalui jalan pintas untuk kurus atau tak sihat semata-mata untuk kurus," ujarnya. 

Dafi mengawal ketat pemakanan. 

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Bila Terasa Rindu ini berkata buat masa ini dia masih boleh mengawal berat badan tanpa perlu melakukan pembedahan bariatrik.

"Buat masa ini saya rasa belum perlu lagi kerana saya masih boleh lagi kawal berat badan. 

"Namun saya tidak pernah menentang individu yang melakukan pembedahan bariatrik. Kalau di masa hadapan susah sangat nak kurus, saya potong (usus) saja. Saya tak ada masalah asalkan untuk kesihatan," katanya.  

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain