ENGGAN menghampakan harapan peminat, penyanyi Datuk Elaine Kang nekad dengan keputusan untuk terus bertanding dalam program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) meskipun berdepan masalah kesihatan.
Selepas membuat pertimbangan, Elaine, 60, yakin ini adalah masa terbaik untuk dia berkongsi bakat nyanyiannya kepada peminat yang telah banyak memberi sokongan.
Malah dia juga mengaku tidak mengikut nasihat doktor yang memintanya untuk berehat.

Persembahan Elaine dipantau oleh doktor setiap minggu.
"Ya! Saya degil. Saya tidak jadi untuk tarik diri. Setakat ini doktor kata okay sahaja dan dia juga tidak mahu halang kerana tahu saya suka berada di atas pentas.
"Tetapi dalam masa sama saya juga perlu mengikut apa yang dipesan oleh doktor.
"Ramai yang sayangkan saya, jadi apa yang boleh saya berikan adalah suara dan persembahan di atas pentas," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun derita masalah jantung, Elaine Kang makan ubat setiap hari… “Bertanding GV12 atau tidak, tunggu nasihat doktor”
ARTIKEL BERKAITAN: Elaine Kang beri bayangan tinggalkan GV12, Ramli MS terus umum tiada penyingkiran minggu kedua
Elaine ditemui selepas tamat minggu ketiga GV13 yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.
Menurut Elaine, seorang doktor peribadi akan sentiasa berada di dewan berkenaan pada setiap minggu bagi memastikan tahap kesihatannya dalam keadaan baik.
"Doktor saya ada di dalam dewan itu. Dia akan melihat mata saya melalui skrin. Jika nampak penat atau ada yang tidak kena dia akan tahu.
Tetapi dalam masa sama saya juga perlu mengikut apa yang dipesan oleh doktor
DATUK ELAINE KANG
PENYANYI
"Doktor juga nasihat untuk saya tidak terlalu paksa diri," ujarnya.
Menyentuh mengenai persembahannya, Elaine juga mempunyai cita rasa tersendiri terutama dalam berfesyen ketika berada di pentas GV12.
Malah dia sanggup menggayakan busana berat koleksi sendiri semata-mata untuk memberi kepuasan kepada peminat.
"Minggu kedua baju saya hampir 10 kilogram (kg) dan minggu ini pula lima kg. Semua ini adalah baju saya. Bukannya baju baru, tetapi dah memang ada dalam koleksi sendiri.

Elaine sentias tampil dengan fesyen menarik di atas pentas.
"Doktor ada bebel juga sebab baju berat, tetapi saya mahu pakai dan peminat tengok," jelasnya.
Pada minggu kedua GV12, Elaine seakan memberi bayangan mahu menarik diri susulan masalah kesihatan yang dialami namun ketua juri iaitu Datuk Ramli MS memberi dia peluang terus bersaing.
Dalam temu bual sebelum ini, Elaine mendedahkan dia berdepan masalah jantung yang dihidapainya sejak dua tahun lalu selain mengalami gangguan pada telinga yang dikenali sebagai tinnitus atau telinga berdesing.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


