LAMA tidak tampil dengan lagu baharu, penyanyi Ippo Hafiz mengaku bimbang jika peminat mula melupakan namanya sebagai anak seni.
Tidak pernah berhenti dalam menghasilkan karya, Ippo atau Muhammad Hafiz Yaziz, 36, berharap orang ramai akan terus memberi sokongan terhadap perjalanannya dalam industri muzik.
Malah dia turut mengambil langkah berani untuk mencuba sesuatu berbeza berbanding lagu-lagu sebelum ini yang cukup mendapat sambutan apabila dijadikan runut bunyi drama televisyen.

Ippo mahu beri sesuatu yang berbeza buat peminat.
"Ada juga kerisauan sebab sudah lama menyepi, sebab itu tahun ini saya banyak keluarkan lagu ciptaan sendiri untuk penyanyi lain. Saya juga tampil dengan lagu baharu berjudul Sampaikan Rindu.
"Daripada segi lagu mungkin orang kenal karya saya sebagai lagu soundtrack, tetapi kali ini saya nak beri sesuatu yang berbeza. Saya tampilkan Ippo Hafiz versi lain sedikit.
"Saya mahu beri harapan bahawa muzik saya boleh menjadi peneman sepanjang masa," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Ippo Hafiz sah ceraikan isteri talak satu
ARTIKEL BERKAITAN: Ippo Hafiz pilih berdiam isu rumah tangga, enggan anak-anak terganggu
Dalam masa sama, Ippo juga tidak melihat kehadiran penyanyi baharu sebagai satu persaingan yang boleh mematahkan semangat untuk terus berkarya.
Baginya, kehadiran bakat muda membuktikan industri muzik tempatan berpotensi besar untuk terus berkembang.
"Persaingan bakat baharu tidak pernah buat saya rasa ketinggalan. Malah ia mendorong untuk menjadi lebih produktif ke arah lebih positif.

Ippo mahu terus hasilkan karya berkualiti.
"Biarpun ada pengalaman, saya sendiri boleh belajar dengan orang baharu. Kehadiran merekalah yang menjadikan industri muzik kita semakin maju. Kita kena tunjukkan bahawa Malaysia ramai orang berbakat."
Di sebalik setiap usaha, Ippo juga akur sekiranya muzik yang dihasilkan kurang mendapat sambutan dalam kalangan peminat.
Namun dia juga percaya pendengar yang sudah lama mengikuti perkembangan kerjayanya akan sentiasa memberi sokongan.
"Berjaya atau tidak saya serahkan kepada Allah. Itu semua adalah rezeki. Terus doakan untuk kerjaya saya," jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


