PERTEMUAN bersama penyanyi Indonesia, Lyodra membuktikan bahawa dia kini sudah semakin fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
Lyodra atau Lyodra Margareta Ginting, 22, berkata sejak kecil lagi dia gemar menonton siri animasi tempatan Upin & Ipin dan secara tidak langsung membantunya memahami dan menguasai bahasa tersebut dengan mudah.
"Dari kecil lagi saya suka menonton Upin Ipin dan sebab itu saya boleh berbahasa Malaysia.

Lyodra (kanan) mengakui gemar menonton siri animasi Upin Ipin.
"Setiap kali pulang dari sekolah, saya tonton Upin Ipin. Kalau sebut fasal Malaysia memang saya akan teringat Upin Ipin," katanya kepada mStar.
Lyodra berkongsi perkara itu menerusi sidang media Konsert Healing 2026 yang diadakan di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam pada itu, Lyodra menyifatkan siri animasi terbitan Les’ Copaque itu bukan sekadar hiburan semata-mata, malah berperanan sebagai ‘jambatan budaya’ yang memperkenalkan elemen bahasa dan kehidupan masyarakat Malaysia secara ringan dan menyeronokkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kantoi panggil sayang... Lyodra dan Randy Martin dah tak sorok hubungan cinta
ARTIKEL BERKAITAN: Anuar Zain teruja pertama kali beraksi di Stadium Merdeka, lokasi penting dalam sejarah negara
"Saya rasa Upin Ipin ini sangat comel, sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Sekarang ini saya tidaklah menonton lagi tetapi kalau siarannya ada di televisyen, saya tidak akan skip.
"Saya pun sudah hafal babak-babak dalam Upin Ipin itu. Saya suka menonton aksi mereka di dalam kelas," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, juara Indonesian Idol musim ke-10 itu turut menyuarakan keterujaannya untuk menjayakan Konsert Healing Night 2026 yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 24 Januari depan.
Konsert yang membawa tema "healing" itu bakal menghimpunkan barisan artis ternama dari Malaysia dan Indonesia, termasuk Anuar Zain, Ella, Dayang Nurfaizah serta kumpulan terkenal dari seberang, Kangen Band.
"Saya teruja bakal beraksi di konsert Healing Night 2026, bukan hanya dengan barisan artis dari Malaysia malah bersama rakan artis Kangen Band dari Indonesia juga.

Lyodra bakal beraksi di konsert Healing Night 2026 pada Januari depan.
"Bagi saya healing itu adalah kita boleh melakukan aktiviti yang kita suka. Apa yang boleh buat kita gembira, lakukan saja,"katanya.
Tiket Konsert Healing Night 2026 kini boleh didapati menerusi laman web Ticket2U, dengan harga bermula daripada RM190 hingga RM950.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


