suria

Luna Maya rancang miliki cahaya mata tahun depan, mahu perlahankan kerjaya jika sedia hamil

Luna membuat perancangan rapi dalam membina keluarga.

SELEPAS lebih lima bulan mendirikan rumah tangga, pelakon Luna Maya mengaku berada dalam fasa bahagia bersama aktor Maxime Bouttier. 

Masih mencari titik keserasian sebagai suami isteri, Luna, 42, juga tidak merancang untuk segera hamil dalam masa terdekat. 

Baginya hubungan sebagai suami isteri harus utuh sebelum memikirkan untuk melangkah ke fasa membina keluarga. 

Luna dan Maxime sah bernikah pada Mei lalu. 

"Saya merancang untuk memiliki cahaya mata tahun depan. Kami ambil masa untuk bersama dahulu. Kami nak kenal lebih rapat dan apabila rasa betul-betul serasi baru ke fasa seterusnya. 

"Bagi saya semua perlu tersusun dan bersedia. Saya tidak mahu menyesal di kemudian hari. 

"Bukannya risau, tetapi mencari waktu terbaik. Dalam membina keluarga, pasangan harus utuh," katanya kepada mStar. 

Luna ditemui ketika hadir ke Malaysia bagi tayangan filem terbaharunya berjudul Sukma yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Jumaat. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Akaun bank kosong, Luna Maya pernah menangis tak ada duit 

ARTIKEL BERKAITAN: Luna Maya belum hamil, tengah ‘datang bulan’

Tambah Luna, dia juga merancang untuk memperlahankan kerjaya apabila dia dan suaminya mula ke arah membina keluarga. 

"Setakat ini kerjaya masih seperti biasa. Saya akan slow down apabila kami memutuskan untuk memiliki anak. Saya masih ada banyak kerja perlu diselesaikan. 

"Kami ada perancangan yang baik. Perlu simpan duit kerana mahu memberikan yang terbaik buat anak kami. Semuanya harus difikir baik-baik agar kedua-dua pihak bersedia daripada segi mental dan fizikal," ujarnya. 

Dalam membina keluarga, pasangan harus utuh

LUNA MAYA 

PELAKON 

Untuk rekod Luna dan Maxime bernikah pada 7 Mei lalu dalam satu majlis yang berlangsung di Bali, Indonesia. 

Sementara itu, ditanya tentang filem Sukma, Luna memberitahu naskhah itu memberi satu pengalaman berbeza meskipun sering terlibat dalam karya genre seram. 

Menjalani penggambaran di daerah Yogjakarta, Luna berkongsi pengalaman luar biasa sepanjang 22 hari menyiapkan filem arahan Baim Wong itu. 

Anna (kiri) dan Luna antara pelakon utama filem Sukma. 

"Semua berjalan lancar, tetapi ada satu kejadian yang luar biasa. Ketika di sebuah lokasi kami diberitahu oleh pemilik tanah yang kawasan itu belum 'dibayar' untuk minta izin. 

"Jadi kami perlu bertukar lokasi dan terpaksa mengulangi semula babak terakhir saya," ceritanya. 

Selain Luna pelakon lain yang turut terlibat ialah Fedi Nuril, Christine Hakim, Oka Antara selain aktres dari Malaysia, Anna Jobling. 

Ia bakal memulakan tayangan di Malaysia pada 30 Oktober ini. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain