PENYANYI Misha Omar menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengharap tiket konsert percuma apabila menghadiri persembahan rakan-rakan artis.
Sebaliknya Misha atau Samihah @ Aishah Omar, 43, dia memilih untuk membeli sendiri tiket sebagai tanda sokongan terhadap industri seni tanah air.
Kata Misha, kehadirannya ke konsert bukanlah kerana paksaan atau semata-mata untuk menjaga hati rakan artis tetapi didorong oleh kecintaan terhadap dunia seni dan penghargaan terhadap karya individu lain.

Misha akan sentiasa beri sokongan kepada rakan artis.
“Saya hadir ke konsert rakan-rakan artis tanpa paksaan sesiapa. Tidak ada istilah saya pergi konsert untuk jaga hati kawan-kawan. Saya suka meraikan orang dan saya sangat hormat kepada karya artis lain. Saya pergi konsert kerana saya suka seni.
“Saya mahu tunjuk kepada peminat bahawa saya tidak hamak tiket percuma. Semuanya saya beli sendiri (tiket konsert), kita battle tiket sendiri,” katanya kepada mStar.
Misha berkongsi perkara itu menerusi sidang media DiA Misha Omar yang diadakan di Pusat Perdangan Ikon City, Petaling Jaya pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Misha Omar tergamam, Melly Goeslaw menangis pertama kali bertentang mata dengan idolanya
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Misha Omar dikejar ke hospital gara-gara beli ubat di media sosial
Menjelang konsertnya yang bakal berlangsung pada 29 November ini, Misha turut menegaskan bahawa dia tidak menyediakan tiket percuma walaupun untuk ahli keluarganya sendiri.
Meskipun ada yang berkecil hati, dia percaya penjelasan mengenai kepentingan menyokong industri secara adil akan membuka mata ramai.
“Konsert saya sendiri tiada istilah untuk tiket percuma. Semua orang dalam keluarga saya termasuk suami, anak-anak abang, sepupu dan anak saudara beli tiket.
Ini gaji semua orang dalam satu tiket
MISHA OMAR
PENYANYI
“Saya bukan ‘scammer’ yang membolot semua wang jualan tiket. Peminat mahukan konsert yang menarik, sudah tentu kami ada pasukan terbaik yang perlu dibayar.
“Tidak adillah. Bukan saya keluarkan tiket untuk bayar gaji saya saja. Ini gaji semua orang dalam satu tiket. Sudah tentu ada yang merajuk tetapi bila saya jelaskan mereka akan faham,” ujarnya.
Mengulas sokongan daripada rakan artis, Misha meluahkan rasa syukur kerana ramai selebriti tampil membeli tiket secara sah tanpa meminta percuma.

Pembelian tiket konsert merupakan salah satu tanda sokonga Misha.
Antara yang memberikan sokongan terhadap persembahan showcase sebelum ini termasuk penyanyi Ernie Zakri, Syamel, Shila Amzah dan Nabila Razali.
“Alhamdulillah, tiada rakan artis minta tiket percuma. Daripada showcase yang lalu, semuanya beli, Ernie, Syamel, Shila, Nabila siap shopping beli tiket bawa 10 orang.
“Saya rasa sebagai rakan artis mereka faham usaha yang kami lakukan untuk sampaikan satu persembahan. Saya sangat gembira kerana saya juga melakukan perkara sama (beli tiket) untuk menyokong rakan artis,” jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


