PEMERGIAN naib juara Akademi Fantasia musim keempat, Lotter P. Edwin Edin pada malam Sabtu mengejutkan ramai pihak termasuk rakan seperjuangannya dalam dunia seni iaitu Felix Agus.
Lebih menyedihkan bagi Felix, 43, apabila mengenangkan hasrat sahabatnya itu untuk mendirikan rumah tangga yang sepatutnya dirancang awal tahun hadapan.
"Sebenarnya Lotter merancang untuk berkahwin pada awal tahun depan. Dia sudah bertunang setahun dengan wanita asal Sabah tetapi kini bekerja di Dubai.

Felix terkejut mendengar berita pemergian Lotter.
"Tunang dia (mendiang Lotter) pun sudah sampai semalam (Ahad) di Sabah untuk beri penghormatan terakhir.
"Sekarang ini sepatutnya dia banyak urusan sebelum kahwin untuk buat segala persiapan tetapi apa kan daya," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Melihat kesedihan yang dilalui oleh tunang mendiang, Felix sedar tidak mudah buat wanita itu berdepan dugaan kehilangan orang tersayang.
ARTIKEL BERKAITAN:Bintang AF4, Lotter meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN:Felix Agus (AF3) mahu angkat semula namanya
Sebagai salah seorang teman rapat, Felix turut meluahkan rasa simpati atas apa yang berlaku.
"Apa yang saya tahu, memang berat untuk tunangnya terima berita pemergian Lotter.
"Dia (tunang Lotter) memang tidak kuat, dia banyak meluahkan pada isteri saya," ujarnya.
Dia (Lotter) sudah bertunang setahun dengan wanita asal Sabah tetapi kini bekerja di Dubai.
FELIX AGUS
PENYANYI
Berkongsi mengenai keadaan kesihatan Lotter sebelum ini, Felix mendedahkan bahawa mendiang pernah mengalami masalah tiroid dan sesak nafas sejak tahun lalu.
Bagaimanapun dia tidak menyangka keadaan Lotter menjadi serius namun masih cuba menyembunyikan rasa sakit itu.
"Sebelum ini apa yang saya tahu memang dia sakit tetapi tidak tahu pula seteruk ini. Masalah tiroid yang dialaminya pada tahun lalu dan dia memang kerap sesak nafas, cuma baru-baru ini masalah sesak nafas itu menjadi makin serius.
"Tapi saya lihat keadaan dia okay saja, mungkin juga dia menyembunyikan sakit yang dia alami. Dia cuba buat macam biasa.

Hasrat Lotter untuk berkahwin pada awal tahun depan tidak kesampaian.
"Apabila saya mendengar berita kematiannya, saya benar-benar terkejut tak sangka dia pergi begitu cepat," katanya.
Pada Sabtu, Lotter meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 10.50 malam.
Menurut sumber, Lotter dimasukkan ke hospital pada awal pagi Sabtu selepas mengalami kesukaran bernafas.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


