suria

Cindy menang besar di ASIA2025, terbuka terima tawaran kerja di Malaysia

Cindy terbuka belajar bahasa Melayu untuk berlakon di Malaysia.

PELAKON dan pempengaruh media sosial dari Vietnam, Cindy diumumkan sebagai penerima Anugerah Utama All Star Influencer Award 2025 (ASIA2025) yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Cindy atau nama sebenarnya Huỳnh Thị Diễm Mi, 24, bukan sahaja membawa pulang wang tunai AS$15,000 (RM71,000), malah turut menerima trofi eksklusif dan pakej percutian mewah ke Dubai.

Menurut Cindy, dia langsung tak menjangka akan merangkul kemenangan utama itu dan menganggapnya sebagai satu rezeki besar yang ingin dikongsi bersama keluarga.

Cindy ketika diumumkan sebagai penerima Anugerah Utama ASIA 2025.

"Saya tak jangka akan menang, tapi saya sangat gembira atas kemenangan ini. Duit kemenangan ni saya akan kongsikan dengan keluarga," katanya kepada mStar.

Bukan itu sahaja, Cindy turut menang dalam kategori Best Storyteller, menjadikan malam tersebut cukup bermakna buatnya.

Ditanya sama ada dia terbuka untuk melebarkan sayap dalam dunia lakonan tempatan, Cindy mengakui tidak menolak andai diberikan peluang.

"Kalau ada tawaran berlakon di Malaysia, saya sedia belajar Bahasa Melayu," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:80 ‘influencer’ dari 20 negara bakal bersaing dalam ASIA 2025

ARTIKEL BERKAITAN:Pempengaruh Indonesia Saal Haerid juara ‘All Star Influencers Award 2024’, tewaskan peserta dari 9 negara termasuk Malaysia

Naib juara ASIA2025 dimenangi pempengaruh dari Indonesia, Sheren Natalia, yang turut menggondol kategori Best Content Creation, manakala tempat ketiga menjadi milik wakil Kemboja, Rainnie Dara.

Kedua-dua mereka masing-masing menerima wang tunai AS$5,000 (RM24,000) dan AS$3,000 (RM14,000), selain trofi dan percutian ke Dubai.

Terdapat 12 kategori lain turut dipertandingkan bagi mengiktiraf kepelbagaian bakat para pempengaruh yang terlibat pada malam kemuncak ASIA2025. 

Antara kategori tersebut termasuk Best Gourmet Award yang dimenangi Pep Kemika dari Thailand.

Cindy mahu kongsikan hadiah kemenangan bersama keluarga.

Sementara itu, Best Mixed Dance dimenangi oleh Group C, Best Transition oleh Herony dari Filipina, manakala Best Culture Curator menjadi milik Klara Tania dari Indonesia.

Kategori Best Comedy Maestro pula dimenangi Ammor Group B, diikuti Best Mixed Language oleh Harszan Group F. 

Untuk Best State Compilation, empat peserta diumumkan sebagai pemenang iaitu Kissests bagi destinasi Pahang/Johor, Haikalequin (Melaka/Selangor), Kumala (Pulau Pinang/Langkawi) serta Wan Vognax (Sabah). 

Saal pemenang ASIA pada edisi 2024.

Sementara itu, kategori Best Content Creation dimenangi pempengaruh dari Indonesia, Sheren Natalia, yang turut membawa pulang tempat kedua keseluruhan dalam anugerah utama.

ASIA2025 merupakan sebuah inisiatif berskala besar yang menghimpunkan lebih 80 pempengaruh digital dari 20 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, India, UAE, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

Program ini bertujuan mengetengahkan kreativiti dan kepelbagaian budaya dalam dunia digital serta pelancongan.

Untuk rekod, pemenang utama tahun lalu, Saal Haerid dari Indonesia, turut menerima hadiah bernilai AS$10,000 (RM44,200), trofi dan percutian ke Dubai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain