SUSULAN kejadian pengsan di acara Grand Finale program Talk To My Manager (TTMM), penyanyi Aisha Retno mendapat nasihat untuk menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI).
Menurut Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, ia penting bagi mengenal pasti punca sebenar keadaan kesihatannya memandangkan situasi tersebut jarang berlaku kepadanya sebelum ini.
“Doktor ada syorkan buat MRI sebab saya pengsan sekali dengan kejang. Kadang-kadang boleh jadi ada kaitan dengan otak.

Aisha alami serangan panik di TTMM.
“Insya-Allah saya akan buat dalam masa terdekat, tengok jadual dulu... kalau ada masa saya akan terus pergi buat.
"Selalunya serangan panik saya tak sampai tahap tu, jadi kena ambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada mStar.
Aisha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada malam kemuncak All Star Influencers Award (ASIA) 2025 pada malam Ahad.
Menceritakan kembali kejadian, Aisha berkata dia percaya insiden itu berlaku akibat keletihan dan tekanan sekeliling, sekali gus mencetuskan serangan panik.
ARTIKEL BERKAITAN:80 ‘influencer’ dari 20 negara bakal bersaing dalam ASIA 2025
ARTIKEL BERKAITAN:Pempengaruh Indonesia Saal Haerid juara ‘All Star Influencers Award 2024’, tewaskan peserta dari 9 negara termasuk Malaysia
“Mungkin waktu tu saya memang penat sangat, makan pun lambat, lepas tu ramai orang... semua tu mungkin jadi pencetus.
“Selain tu, saya tak rasa ia berkaitan dengan perkara mistik. Setakat ni Alhamdulillah, tak ada apa-apa yang pelik,” ujarnya.
Tambah penyanyi itu kejadian sama pernah berlaku kepada dirinya.
Meskipun berdepan cabaran kesihatan, Aisha tetap bersemangat meneruskan kerjaya seni.

Aisha disaran jalani pemeriksaan MRI.
“Saya memang ada sejarah serangan panik yang agak teruk juga. Benda ni bukan boleh hilang terus, tapi lama-lama saya belajar kawal dan uruskan. Saya percaya ramai juga yang alami perkara sama.
“Sekarang saya lebih sedar yang kesihatan dan pemakanan tu dua perkara asas yang kita selalu ambil mudah,” katanya.
Sebelum ini, Aisha dilaporkan pengsan di belakang pentas ketika malam Grand Finale TTMM selepas selesai membuat persembahan duet bersama Marsya Q menerusi lagu Lay Me Down nyanyian asal Sam Smith.
Penyanyi itu turut mengalami kekejangan pada tangan dan kaki sebelum diberi rawatan kecemasan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


