PELAKON dan penyanyi, Fareez Fauzi membuktikan usaha keras tidak pernah mengkhianati hasil apabila dinobatkan sebagai juara kategori mid weight pada Grand Final All Star Championship yang berlangsung pada malam Sabtu.
Fareez, 28, berkata dia tidak menyangka keberaniannya untuk menceburi sukan lasak itu akhirnya membuahkan hasil sehingga berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000.
Katanya, air mata yang mengalir saat diumumkan sebagai juara itu menunjukkan segala penat lelah meninggalkan keluarga selama ini terbayar selepas menewaskan Sheikh Sonic.
“Selama ini ramai yang pandang rendah pada saya. Alhamdulillah, Tuhan tunjukkan bahawa kalau kita berusaha, ia tak akan mengkhianati hasil.
Fareez tidak menyangka kehadirannya menceburi sukan lasak itu akhirnya membuahkan hasil.
“Macam-macam cabang saya cuba sebelum ini tapi rezeki belum nampak. Tapi mana tahu, kalau ada peluang dalam bidang lakonan selepas ini, bolehlah panggil saya. Badan pun dah cantik sekarang,” katanya kepada mStar.
Fareez berkongsi perkara itu ketika ditemui sebaik sahaja tamat perlawanan Grand Final All Star Championship yang berlangsung di Arena Sukan Kuala Lumpur.
Menurut Fareez, wang kemenangan sebanyak RM50,000 akan digunakan sepenuhnya untuk keluarga kerana pelbagai perancangan sudah disusun.
Malah dia bersyukur apabila isterinya, Nurwathiqah Abdul Wahab hadir memberi sokongan moral meskipun tidak sanggup melihat suaminya menerima pukulan daripada pihak lawan pada perlawanan akhir itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Sampai berbirat badan Fareez Fauzi kena pukul, Noorkhiriah minta maaf tak sangka getah paip ‘berbisa’
ARTIKEL BERKAITAN: Kurang job nyanyian, Fareez Fauzi fokus cari duit menerusi ‘live’ TikTok… Impi sertai program Big Stage
“Saya akan gunakan sepenuhnya untuk keluarga, nak buat majlis aqiqah anak saya, menabung dan pendidikan mereka jnanti,” jelasnya.
Sementara itu, personaliti media sosial, Imranul Effendy turut mencuri tumpuan apabila berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 selepas menjuarai kategori lightweight dalam acara sama.
Menurut Imranul, kemenangan tersebut amat bermakna kerana niat utamanya adalah untuk membawa ibunya menunaikan umrah selain berharat untuk memberi penghargaan kepada pusat gimnasium yang banyak menyokong perjalanannya sebagai atlet.
“Memang niat saya dari awal kalau menang, saya nak bawa ibu saya pergi umrah. Selain itu, saya nak belanja gim yang banyak bantu dan taja saya, serta self-reward untuk diri sendiri,” ujarnya.
Imranul mahu membawa ibunya menunaikan umrah selepas berjaya mendapatkan RM50,000.
Dia yang berlawan dengan Amir memberitahu tidak merancang untuk terus berada dalam sukan lasak itu dan mahu fokus terhadap minatnya sebagai penari.
Kata Imranul, dia melalui pengalaman yang mencabar termasuk perlu menurunkan berat badan secara drastik serta menjalani latihan yang ketat selama beberapa bulan ini.
“Berat badan saya daripada 75 kilogram kena turun ke 65 kilogram. Saya buat latihan empat kali sehari, memang bukan mudah.
“Jadi fighter ini memerlukan fokus dan disiplin yang sangat tinggi, termasuk kena jaga makan, tak boleh lalai dan latihan kena konsisten,” kongsinya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


