PENGACARA dan pelawak Nabil Ahmad tampil memberi respons terhadap kecaman dan kritikan diterima anaknya, Nayla Mikayla ketika mengendalikan program Live+ Talk To My Manager baru-baru ini.
Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad, 42, berkata, dia melihat penyertaan Mikayla, 13, dalam program tersebut sebagai satu proses pembelajaran dan perkembangan bakat anaknya itu.
"Dia (Mikayla) memang tengah belajar lagi sebab baru lagi dalam bidang ini (pengacaraan). Bagi saya, inilah proses pembelajaran untuk Mikayla.
"Saya nak minta semua yang menonton beri peluang, bagi komen-komen yang positif. Kami ambil kecaman-kecaman ini sebagai perkara positif juga, takkan tak boleh kena tegur kan?

Antara komen yang diterima Mikayla di media sosial.
"Sebagai ayah saya tetap bangga kerana dia boleh buat, setidaknya Mikayla boleh bercakap di hadapan kamera dan tidak segan. Jadi saya gembira untuk dia," katanya ketika dihubungi mStar.
Meskipun menerima pelbagai reaksi daripada netizen, Nabil berkata Mikayla tetap tenang dan tidak patah semangat, malah menganggap kritikan sebagai satu bentuk motivasi untuk terus belajar dan memperbaiki diri.
"Alhamdulillah Mikayla baik-baik saja, dia tidak patah semangat walaupun menerima kecaman ramai. Itu juga membuatkan saya rasa bangga kerana dia boleh terima.
"Saya selalu pesan apa yang dilakukan Mikayla ini sebagai satu pekerjaan. Kerja ini memang jadi tumpuan untuk orang bercakap (mengata). Mahu atau tidak kena terima secara baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Nabil Ahmad nafi guna ‘kabel’, tak larang anak teruskan minat sebagai pengacara
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Diusik bakal dapat menantu, Nabil terkejut anak didakwa ada teman lelaki
"Kalau betul minat kena terima dan ambil saja secara positif (kecaman). Kalau tak boleh terima, tak bolehlah dia kerja macam ini (dunia hiburan)," ujarnya.
Dalam masa sama, Nabil turut menafikan dakwaan bahawa Mikayla menggunakan kabel untuk mendapat tawaran sebagai hos program secara langsung itu.
Kata Nabil, pemilihan Mikayla dibuat secara profesional oleh pihak Astro selepas melalui sesi uji bakat.
"Tawaran ini Mikayla dapat daripada Astro tanpa melalui saya pun. Bila pihak Astro menawarkan peluang ini kepada isteri saya yang juga pengurusnya, barulah saya tahu dia dapat.
Saya nak minta semua yang menonton beri peluang, bagi komen-komen yang positif.
NABIL AHMAD
PENGACARA DAN PELAWAK
"Jadi tak timbul isu pakai kabel. Mikayla pun melalui proses uji bakat seperti orang lain. Ada juga beberapa calon lain.
"Sebelum ini pun Mikayla pernah buat pengacaraan jemputan di program The Chosen One. Jadi mesti pihak Astro nampak kebolehan Mikayla dan kerana itu mungkin tawaran ini (LivePlus TTMM) diberikan kepadanya," jelasnya.
Sementara itu, Nabil turut memaklumkan Mikayla pernah mengikuti kelas pengacaraan bersama Datuk Aznil Nawawi, namun hanya sempat menghadiri satu sesi disebabkan jadual yang padat.
"Sebelum ini dia masuk kelas dengan Pak Nil (panggilan Aznil) waktu program The Chosen One. Tapi Pak Nil pun sibuk jadi dapat masuk satu kelas saja.
"Selepas itu Mikayla belajar sendiri untuk menambah kemahiran mengacara. Insya-Allah selepas ini Mikayla akan terus belajar daripada Pak Nil.

Nabil (kanan) tetap bangga melihat pencapaian Mikayla.
"Saya memang nak dia belajar sebab Pak Nil ada teknik mengacara yang sangat baik. Saya nak dia belajar dan timba ilmu lebih banyak dengan Pak Nil," katanya.
Sebelum ini, Mikayla menerima kecaman ramai apabila video temu bual bersama penyanyi Siti Nordiana dan peserta TTMM, Ammar tular di aplikasi Threads.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan cara Mikayla menggendalikan program Live+ TTMM itu dan mendakwa penggunaan bahasa anak pengacara itu kurang sesuai.
Malah, netizen turut berharap Mikayla dapat belajar teknik pengacaraan dengan lebih baik sekiranya mahu meneruskan kerjaya itu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


