PELAKON Adriana Adnan sentiasa berhati-hati dalam memilih pakaian yang sesuai untuk digayakan meskipun dia seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan fesyen terkini.
Adriana, 30, berkata, dia mempunyai beberapa syarat tertentu dalam pemilihan pakaian dan turut diketahui oleh penata gaya peribadinya.
Menurutnya, sebagai wanita Melayu, dia berpegang pada nilai kesopanan dan menjaga sensitiviti dalam penampilan.
Adriana ada syarat dalam pemakaian.
"Saya biasanya akan memakai pakaian yang tidak terlalu terdedah. Saya lebih selesa memakai pakaian sopan dan tidak mencolok mata.
"Biasanya saya akan pesan pada penata gaya untuk memilih baju yang tak nampak ketiak.
"Lagipun kita di Malaysia bukan di Hollywood. Jadi saya kena hati-hati dan menjaga sensitiviti. Orang pun tak selesa tengok kita pakai terdedah," katanya kepada mStar.
Mengulas lanjut, Adriana memberitahu keselesaan adalah perkara utama dalam pemakaian, lebih-lebih lagi bentuk tubuhnya yang tinggi dan dada bidang, berbeza dengan kebanyakan wanita Asia lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Adriana masuk kelas lakonan di Jakarta, berazam jadi pelakon serba boleh
ARTIKEL BERKAITAN: Adriana Adnan enggan buka aib dedah pekung dalam podcast, tak sanggup malukan diri demi viral
Jelasnya, pemakaian yang selesa membantu dirinya untuk tampil lebih yakin apabila menjalankan tugas mahupun berkomunikasi dengan orang lain.
"Apa yang penting dalam fesyen adalah keselesaan. Pakailah apa-apa pun kena selesa barulah akan yakin bila jumpa orang.
"Biasanya saya ada masalah baju tak selesa dengan memakai pakaian bukan saiz saya.Dada saya bidang dan agak tinggi.
"Jadi baju bersaiz Asia memang tak muat hingga saya akan minta saiz sedikit besar," ujarnya.
Adriana utamakan keselesaan dalam berpakaian.
Walaupun begitu, Adriana jarang membuat sebarang aduan jika pakaian yang disediakan oleh penata gaya tidak menepati cita rasanya.
"Kalau saya asyik nak merungut pun tak boleh. Jadi lebih baik saya fokus kepada kerja saya kemudain baru fikir soal baju.
"Selama ini saya tak fikir langsung fasal apa orang nak cakap mengenai fesyen yang digayakan. Malah saya selalu ajar diri untuk tidak terlalu fikir tentang kritikan orang luar," ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube