suria

Adriana masuk kelas lakonan di Jakarta, berazam jadi pelakon serba boleh

Adriana mahu tebus pasaran Indonesia.

BERUSAHA menjadi pelakon serba boleh membuatkan Adriana Adnan sanggup ke Indonesia menuntut ilmu sebagai anak seni dua tahun lalu.

Adriana, 30, berkata, dia menuntut ilmu selama dua bulan di sebuah sekolah lakonan iaitu Project Selasa di Jakarta, selepas dicadangkan oleh kenalannya.

Katanya, sekolah itu menggunakan artis-artis hebat di Indonesia seperti Reza Rahadian, Chicco Jerikho, Abima Aryasatya dan ramai lagi sebagai mentor.

Adriana kongsi pengalaman berlajar di Indonesia.

"Saya ada beberapa kenalan keluarga dan rakan pelakon di sana yang mencadangkan sekolah itu. Mereka kata ramai pelakon hebat Indonesia selalu ke situ.

"Saya rasa perkara itu menarik dan saya ingin mencuba menimba ilmu daripada mereka.

“Lagi pun saya nak cuba pasaran sana sebab saya memang minat tengok karya Indonesia dan nak rasa macam mana pengalaman berkerja dengan mereka," katanya kepada mStar.

Adriana berkongsi perkara itu ketika ditemui di set penggambaran drama Putri & Phrince di Petaling Jaya pada Khamis. 

ARTIKEL BERKAITAN: Adriana Adnan enggan buka aib dedah pekung dalam podcast, tak sanggup malukan diri demi viral

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak hingga menitis air mata, Adriana Adnan teruja dapat bergambar dengan Park Seo Joon

Menurut Adriana, ketika berada di sana dia juga mengambil kesempatan menyertai beberapa uji bakat dalam usaha menembusi pasaran Indonesia.

Jelasnya, dia diberi skrip dan menjalani uji bakat secara rakaman agar pihak penerbit menonton kembali dan memanggilnya sekiranya berminat.

"Ketika di sana, saya ada juga lima atau enam kali saya sertai uji bakat tapi memang susah sebab ada berjuta-juta orang datang uji bakat.

Saya sudah tahu cara membawa watak lebih santai.

ADRIANA ADNAN

PELAKON

"Mungkin kalau nak kena betul-betul berusaha ataupun kenal dengan pihak produksi atau orang dalam untuk dapatkan job di sana," ujarnya.

Jika tidak berjaya menembusi pasaran di sana, Adriana tetap positif kerana masih dapat memanfaatkan ilmu dipelajari. 

Dia juga menganggap rezeki belum memihak kepadanya namun tidak pernah putus asa mencuba melebarkan sayap ke negara itu.

Adriana akui sukar tebus pasaran Indonesia.

"Saya rasa ia berbaloi kerana apa saya belajar di situ saya terapkan sehingga sekarang. Saya sudah tahu cara membawa watak lebih santai dan tidak dibuat-buat.

"Saya anggap kalau ada rezeki itu ada, tapi buat masa ini mungkin rezeki saya di sini. Tapi tidak mengapa kerana saya sudah dapat ilmu di sana dan terapkan di sini,” katanya. 

Sementara itu, bercakap tentang Putri & Phrince, Adriana memberitahu dia memegang watak sebagai Cik Aisyah dalam drama arahan Liyana Jasmay itu.

Adriana tidak pernah mengalah untuk kejar impian.

Katanya, dia perlu sentiasa berada dalam keadaan mood gembira menjadikan ia satu cabaran buat dirinya.

"Cik Aisyah ini mungkin nampak macam bimbo kerana pakaiannya yang menyerlah tapi sebenarnya tersimpan rahsia yang tidak semua orang jangkakan," kongsinya.

Selain Adriana, drama itu turut dibintangi oleh Badron Munirah, Nesa Idrus, Farah Nadiah, Adriana Adnan, Nik Rifaie, Khayrisyah Kemal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain