PELAKON dan pengacara Didie Alias menyifatkan Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar Mohamed seorang rakan yang mudah membantu sepanjang mereka bekerjasama.
Kata Didie, 59, Allahyarham juga seorang yang sangat menjaga hal peribadi artis dan tidak menjajanya sehingga pengetahuan orang luar.
Lebih menyentuh hati apabila Allahyarham antara wartawan yang sentiasa memberi sokongan kepada artis-artis lama.
Didie (kanan) tidak dapat menahan sebak mengingati jasa Allahyarham.
“Terima kasih, Raja Mawar. Sepanjang 40 tahun saya dalam industri ini, saya rasa tak ada rahsia yang dia pernah keluarkan untuk orang baca.
“Apa yang perlu dikeluarkan saja dia akan siarkan, selebihnya dia simpan sendiri. Dia insan yang baik sebab itulah Tuhan sayang dia. InsyaAllah saya akan buatkan tahlil untuk dia,” katanya.
Didie berkongsi perkara itu ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kajang, Selangor bagi mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham Raja Nurfatimah.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas wartawan, penerbit majalah Pesta Fauziah Rauf meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: Penolong Pengarang Berita Hiburan BH Raja Nurfatimah Mawar meninggal dunia
Dalam pada itu, penyanyi Siti Nordiana ketika ditemui berkata, Allahyarham antara wartawan terawal yang menyokong permulaan kerjaya seninya sebagai penyanyi.
“Malah setiap kali Anugerah Bintang Popular BH kembali, arwah juga antara rakan media yang banyak membantu saya dan kelab peminat.
“Apabila mengetahui arwah meninggal dunia, bagi saya ini adalah satu kehilangan besar dan saya anggap dia seorang kakak yang tak lokek memberikan nasihat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave berkata, dia menghargai jasa dan sumbangan Raja Nurfatimah yang sentiasa prihatin dengan kebajikan penggiat seni.
Dia seorang kakak yang tak lokek memberikan nasihat.
SITI NORDIANA
PENYANYI
“Dia macam adik saya. Dia juga menganggap saya seperti seorang abang.
“Kalau ada apa-apa masalah, saya akan telefon dia kemudian dia aturkan pertemuan. Setiap majlis YKAT dia mesti hantar wakil wartawan untuk membuat liputan.
“Pada saya pemergian arwah adalah satu kehilangan besar terhadap dunia wartawan. Saya sudah mengenali arwah seiak 20 tahun lalu sewaktu dia masih berkhidmat di meja jenayah,” katanya.
Selain Didie dan DJ Dave, antara selebriti yang turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada arwah ialah DJ Lin, Ameng Spring, Datuk Fizz Fairuz, Datin Almy Nadia, Along Cham dan Zalif Sidek.
Siti Nordiana (kiri) imbau kembali kenangan bersama arwah.
Sebelum ini, media melaporkan Raja Nurfatimah meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang, Selangor selepas mengadu sakit dan sukar bernafas pada pukul 3.23 petang Ahad.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Kajang bagi menjalani proses bedah siasat.
Allahyarham dijangka akan dibawa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Haji Kadir Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu pada Isnin.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube