suria

Dah berbulan tiada pendapatan, Zed Zaidi gesa kerajaan benarkan penggambaran - “Perdana menteri tolong lepaskan kami bekerja”

Zed Zaidi mahu syarat ketat ditetapkan kerajaan mengenai aktiviti penggambaran diperhalusi semula.

LARANGAN aktiviti penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga peralihan ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) benar-benar menjejaskan pendapatan anak seni.

Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi, seramai 7,000 ahli terjejas teruk dan berdepan kesusahan hidup akibat tidak boleh bekerja.

"Ketika mula dilanda pandemik pada tahun lepas, kami juga mempunyai masalah sama di mana pertama kali kena, tak tahu bagaimana nak bantu ahli tapi apabila PKP berlangsung hingga PPN ini menambah parah pada industri seni kita.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mana SOP? Kata lepas raya” - Pekerja seni mula berteriak... Persatuan terus didesak

"Sebelum ini kita mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu tapi kali ini impak lagi serius. Kita tidak berkerja berbulan-bulan nak sampai bertahun dan saya juga dapat pelbagai reaksi ahli, dulu kita boleh bantu bukan duit tapi dari sudut badan korporat membantu artis kita.

"Mungkin dalam kalangan 7,000 artis ini hanya 10 peratus boleh bertahan kerana mereka artis popular dan dapat banyak job. Jika 10 peratus mungkin dia pun tak boleh survive, bagaimana pula dengan 90 peratus yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya.

fdam

Zed Zaidi gesa kerajaan benarkan penggambaran semula.

Zed berkata demikian menerusi siaran langsung di Facebook FDAM membincangkan mengenai isu 'Bila Kami Boleh Shooting?' pada malam Rabu yang turut disertai oleh pengarah drama terkenal, Rashid Sibir dan pelakon Husna Mustaffa.

Dalam pada itu, Zed mencadangkan satu mekanisma baharu diwujudkan menerusi perkongsian idea daripada persatuan hiburan membantu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) agar penggiat seni dapat kembali bekerja dengan lebih cepat.

Ujarnya, syarat kebenaran menjalankan penggambaran yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh PPN ini menyulitkan.

"Kita bukan nak bergantung pada bantuan, kita boleh bekerja cuma tidak diberi ruang bekerja kerana masih menunggu SOP tertentu. Kita tahu dari pihak Finas, ada boleh mula penggambaran tapi hanya melibatkan untuk menghabiskan penggambaran saja.

fdam 4

Sebahagian anak seni yang menyertai sesi siaran langsung di Facebook FDAM.

"Jika ikut PPN, belum tentu kawasan kita boleh mula shooting. Tidak adil kilang boleh buka tapi aktiviti seni tidak boleh sedangkan kami juga penyumbang pada ekonomi negara. Kita faham agensi kerajaan bekerja dari rumah, tak boleh dapat keputusan on-the-spot dan saya tidak salahkan netizen apabila mengatakan kenapa industri seni nak dapat keutamaan?

"Kita adalah suara akar umbi iaitu persatuan seni daripada ahli, kita mengangkat isu mengikut saluran yang betul dan kami memohon pihak tertentu supaya kita tak lagi buat keputusan berbolak-balik," katanya.

Kita bukan nak bergantung pada bantuan, kita boleh bekerja cuma tidak diberi ruang bekerja kerana masih menunggu SOP tertentu!

ZED ZAIDI

PRESIDEN SENIMAN

Sementara, pengarah terkenal Rashid Sibir pula berkata sudah tiba masanya kerajaan membenarkan penggambaran dijalankan memandangkan sudah lebih 120 hari mereka tidak dibenarkan bekerja.

"Saya bukan nak menyalahkan sesiapa tapi nak bagi lebih kefahaman bahawa kami semua sedang tenat. Kita memang nak minta shooting supaya boleh bagi makan pada keluarga.

"Bukan nak merayu atau merintih sangat-sangat, kita anak seni ada cara sendiri. Jadi, saya berasakan selepas ditutup 120 hari lebih kurang sejak Mei, kita seharusnya dilepaskan berkerja.

"Minta maaf cakap Jepun berjaya buat sukan Olimpik dengan SOP yang ditetapkan. Apa salahnya kita belajar daripada mereka, kebaikan yang mereka lakukan, bagaimana mereka mengawal SOP dan menjaga atlet berpuluh ribu terlibat berjaya dilakukan sedangkan kita hanya 20 orang dalam satu set penggambaran susah dilepaskan untuk bekerja," katanya.

fdam3

Ramai pekerja belakang tabir turut terkesan disebabkan larangan aktiviti penggambaran.

Rashid juga berpendapat SOP ditetapkan ketika ini terlalu ketat untuk penggiat seni dan ia adalah suatu tindakan kejam pada anak seni yang mencari rezeki.

"Saya meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang terlalu meletakkan SOP ketat hingga dikatakan Finas tidak boleh lawan, apa perlu kita buat. Anak seni bagi letak apapun kita boleh ikut tapi jangan sampai jerat leher kita sendiri untuk bekerja.

"Saya kali ini berasa amat kecewa kerana tidak dapat membantu ramai orang. PKP kali ini terlalu sesak dan nazak, apabila saya mendapat telefon dan mesej daripada kru, pelakon dan semua bertanya kenapalah susah nak benarkan kita semua bekerja.

"Bukan kita nak langgar SOP tapi nak cari rezeki pun payah nak dilepaskan. Jika AstraZeneca kena tunggu dua bulan, apa salah diwajibkan swab test seperti sebelum ini sebelum penggambaran.

"Pada stesen TV pula naik la harga supaya kami boleh tidur lena, semua orang harus mempermudahkan kehidupan masing-masing, hidup singkat biar memberi makna pada orang lain," katanya.

fdam 2

Penggiat seni tak harap bantuan, hanya mahu bekerja.

Sementara itu, Rashid memohon Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin campur tangan dalam hal ini memandangkan ramai penggiat industri kreatif sudah berada dalam keadaan tertekan dan terdesak.

"Perancangan awal kena ada bukan esok nak buat, hari ini kita baru nak bercakap. Kami menghargai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Finas nak jaga orang seni tapi jangan macam-macam.

"Kita boleh ikut SOP dan kalau tempat itu bahaya kita tidak akan pergi. Jangan terlalu menyekat banyak benda, beri kepercayaan pada anak seni untuk bekerja.

"Perdana Menteri tolong lepaskan kami bekerja, jangan cakap... kebajikan bukan kerja saya sebab Finas macam seorang bapa pada anak-anak. Kita membuktikan tiada kluster pun dan kita sebenarnya tidak mahu bantuan kerajaan tapi lepaskan kami bekerja. Saya sebagai pengarah sedih bila kru telefon dan kita menjadi tempat mereka mengadu," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain