suria

MonoloQue beri sentuhan gamelan dalam versi baharu lagu malar segar 'Legenda'

MonoloQue bawa kelainan dengan memasukkan elemen gamelan dalam lagu Legenda.

KUMPULAN MonoloQue tidak berniat untutk bersaing dengan lagu malar segar Legenda nyanyian Datuk Sheila Majid apabila tampil dengan rendisi mereka sendiri.

Menurut ahli kumpulannya, LoQue, mereka memilih lagu tersebut bagi meneruskan lagi legasi lagu evergreen itu untuk terus diperdengarkan kepada generasi muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Beri semangat kepada atlet Malaysia di Olimpik Tokyo, Margasatwa lancar 'Yang Asli' dalam bahasa Jepun

Menariknya, lagu versi baharu ini menampilkan paduan bunyi kumpulan MonoloQue bersama Orkes Gamelan Pahang Diraja serta disatukan dengan keunikan vokal Kimal daripada kumpulan Margasatwa.

"Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asal Legenda daripada Datuk Sheila Majid. Lagu versi asal semestinya tiada tandingan.

"Saya cuma menyuntik unsur-unsur terkini dan mengubah mengikut citarasa kami seolah-olah lagu ini adalah lagu kami sendiri. Diharap versi kami ini akan menjadi petunjuk arah kepada versi asal di samping menjadi rujukan masa hadapan terhadap evolusi bunyian Gamelan Melayu," katanya kepada mStar.

Legenda yang dinyanyikan Sheila Majid diterbitkan pada tahun 1990 merupakan hasil ciptaan Fauzi Marzuki, Jenny Chin dan Habsah Hassan. Lagu tersebut merupakan penghargaan kepada permata seni negara yang tiada galang ganti, Tan Sri P Ramlee.

loque1

LoQue dan Kimal berpadu suara dalam Legenda.

Sementara itu, Kimal pula berkata cabaran untuk merekodkan lagu ini adalah bagaimana untuknya menarik minat masyarakat untuk mendengarkan rendisi mereka memandangkan ramai sudah sebati dengan versi asal.

"Sebuah lagu malar segar yang berada di aras tinggi dalam industri bukanlah mudah untuk diperbaharui.

"Untuk membuat para pendengar menerima, apatah lagi... tapi saya yakin lagu versi kami pun ada keistimewaan tersendiri yang akan dapat menambat hati pencinta muzik tanah air," katanya.

Bukan tujuan kami untuk bersaing dengan versi asal Legenda daripada Datuk Sheila Majid. Lagu versi asal semestinya tiada tandingan.

LOQUE

AHLI KUMPULAN MONOLOQUE

Legenda yang dimuatkan dalam album berkembar terbaru MonoloQue mempunyai dua versi iaitu yakni versi piring hitam (Vinyl) dan versi cakera padat (Deluxe).

Legenda versi piring hitam yang dihasilkan pada tahun 2018 merupakan persembahan MonoloQue yang dinyanyikan secara solo oleh LoQue. Manakala Legenda versi cakera padat merupakan kerjasama kreatif LoQue dan Kimal.

Lagu tersebut kini sudah boleh didapati menerusi semua platform penstriman muzik digital.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain