suria

Isu suntik picagari kosong, Ruhainies kecewa kecuaian petugas di PPV - “Semua orang ada hak untuk rakam, bukan selebriti saja”

Ruhainies simpati dengan nasib individu yang menerima suntikan vaksin picagari kosong.

ISU dakwaan suntikan vaksin picagari kosong akibat kecuaian petugas di Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) turut menarik perhatian aktres Ruhainies.

Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berpendapat tiada salah untuk seseorang itu merakam prpses suntikan vaksin bagi mendapatkan kepastian.

ARTIKEL BERKAITAN: Ruhainies terlepas cakap, berdebar umum berita gembira - “Saya pun layak bahagia!”

Tidak kira berstatus selebriti atau golongan terkenal, bagi pelakon berusia 29 tahun ini, semua orang sepatutnya diberikan kebenaran untuk merakam momen tersebut.

Ruhainies 1

Status yang dimuat naik Ruhainies di Twiiter.

"Saya sedar ia satu isu yang sensitif tapi bila melibatkan nyawa dan keselamatan orang lain, saya perlu bersuara. Ramai netizen DM saya beritahu mereka kena marah bila nak rakam ketika disuntik.

"Bagi saya, tak sepatutnya marah atau halang sebab nak rakam jarum dan muka sendiri saja... bukan masalah besar. Saya ada dengar selebriti boleh rakam tapi orang biasa pula tak boleh.

"Sepatutnya kena beri sama rata la, tak kisah la selebriti atau tidak... semua orang ada hak untuk merakam bagi mendapatkan kepastian," katanya kepada mStar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sebelum ini, Ruhainies memuat naik status di laman Twitter memohon agar orang awam diberikan kebenaran untuk merakam proses pengambilan vaksin di PPV.

Saya ada terima DM yang mengatakan mungkin petugas itu terlalu penat.

RUHAINIES

PELAKON

Menurut pelakon drama Cukup Derita Itu, kelebihan itu tidak sepatutnya hanya diberikan kepada golongan selebriti atau Instafamous sahaja.

Isu itu mula timbul selepas beberapa kes orang awam membuat pendedahan yang mendakwa mereka menerima suntikan kosong daripada petugas di PPV.

Antaranya, kejadian pada Sabtu lalu di PPV pandu lalu Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah, di mana PPV itu dikhaskan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka sahaja.

Selain itu, kes yang sama berlaku di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dan PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC).

Individu yang terbabit sudah membuat laporan polis terhadap petugas di PPV tersebut.

Ruhainies 2

Ruhainies berharap orang awam dibenarkan untuk merakam proses pengambilan vaksin.

Dalam pada itu, Ruhainies mengakui dia berasa kecewa apabila melihat video yang tular itu dan menganggap alasan petugas di PPV keletihan ketika melakukan suntikan itu tidak logik.

"Sejujurnya, saya agak kecewa apabila melihat beberapa video viral individu menerima suntikan kosong daripada petugas di PPV. Saya ada terima DM yang mengatakan mungkin petugas itu terlalu penat.

"Tapi bagi saya alasan penat sampai beri suntikan kosong kepada orang itu tak logik. Kalau penat, berehat dan ganti dengan orang lain. Saya tidak pukul rata... mungkin ada segelintir petugas saja.

"Kita semua menghormati tugas barisan hadapan tapi bila jadi macam ini, kesian juga dekat orang yang terima suntikan kosong itu. Kalau perkara itu terjadi pada keluarga kita, sudah tentu kita pun akan marah," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain