suria

Pelakon veteran Abu Bakar Omar meninggal dunia pagi Jumaat akibat masalah jantung

Abu Bakar Omar didapati mempunyai masalah jantung.

HARI keempat Ramadan membawa berita duka apabila dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian pelakon veteran Abu Bakar Omar yang meninggal dunia akibat masalah jantung.

Dramatis berusia 72 tahun ini menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.04 pagi, Jumaat di sebuah pusat perubatan di Alor Setar, Kedah.

Anaknya, Mohd Zainuddin Abu Bakar, berkata, Abu Bakar tidak mempunyai sebarang penyakit kronik namun Allahyarham ada mengadu kepenatan pada dua hari lalu.

"Bapa saya sudah kembali ke rahmatullah pada 9.04 pagi tadi di Kedah Medical Central. Dia tidak mempunyai sebarang penyakit. Dua hari lalu, dia mengadu macam penat sikit-sikit tapi masih okay.

"Malam tadi masa pergi ke hospital pun boleh bersembang lagi. Tapi masa jalani pemeriksaan doktor malam tadi, doktor nampak macam ada masalah jantung," kata Zainuddin ketika dihubungi mStar.

Shiera memaklumkan pemergian Allahyarham Abu Bakar.

Terdahulu, penyampai radio Suria FM iaitu Sharifah Shahirah menerusi Instagramnya memaklumkan Abu Bakar Omar meninggal dunia pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Zainuddin memberitahu jenazah akan diruruskan di kediaman arwah yang terletak di Kampung Bukit Nyamuk Kuala Nerang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai Alor Setar, Kedah selepas solat Asar.

"Bagi pihak keluarga kami memohon maaf atas segala salah silap arwah sepanjang hayat beliau bersama masyarakat. Jika hutang piutang ayahanda yang belum selesai boleh berhubung dengan saya," ujarnya.

Allahyarham mempunyai isteri bernama Faridah Abdul Manaf dan empat orang anak yang masih hidup serta seorang anak yang sudah meninggal dunia.

Pelakon Azhan Rani bersama arwah ketika jalani penggambaran telefilem Khilaf Terakhir pada Mac tahun lalu.

Sebagai seorang pelakon, arwah banyak membintangi filem serta telefilem dan antara yang popular iaitu Cinta Kolestrol (2003) dan paling terbaharu Khilaf Terakhir yang ditayangkan pada Januari lalu.

Allahyarham juga mendapat pencalonan dalam Festival Filem Malaysia menerusi filem lakonanya iaitu Bila Hati Telah Retak (1993), Rentak Desa (1990) dan Hingga Hujung Nyawa (2004).

Berikut merupakan anugerah yang pernah dimenangi oleh Abu Bakar Omar;

Anugerah Sri Angkasa

1983 - Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) - Senja Belum Berakhir di samping Uji Rashid

1990 - Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Radio) - Bukan Kerana Kasih

Anugerah Skrin

1999- Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Mata Hati

2012- Pelakon Lelaki Terbaik - Gincu Ayah

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain