suria

Giliran Amylea Azizan tutup aurat bulan Ramadan, mahu betulkan dalaman sebelum istiqamah bertudung

Amylea tampil manis bertudung sepanjang Ramadan ini.

TIBA bulan Ramadan pastinya ramai daripada kita yang mengejar ganjaran serta mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk memanfaatkannya ke arah kebaikan.

Tidak terkecuali penyanyi dan komposer Amylea Azizan, 35, yang berniat untuk bertudung sepanjang bulan Ramadan demi menghormati bulan suci ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah dipandang rendah, Amylea Azizan puas single baharu 'Kendati' kini dapat perhatian

Bukan sahaja terdapat perubahan dari segi luaran dirinya, Amylea berkata, dia ingin memperkuatkan dalamannya sebagai seorang Muslimah.

"Tahun ini memang saya berniat untuk pakai tudung demi menghormati bulan Ramadan. Keluar bazar pun saya akan bertudung.

"Pada pendapat peribadi saya, pakai tudung ini sangat besar tanggungjawabnya dan saya meletakkan perkara itu di tingkat tertinggi.

Amylea mahu memperbaiki diri ke arah lebih baik.

"Saya belum mampu nak pakai tudung sepenuhnya sebab saya tahu pemakaian saya masih belum sempurna. Bagi saya adalah lebih baik saya betulkan dalaman saya dahulu kerana itu yang lebih penting," katanya ketika dihubungi mStar.

Ketika ditanya tidakkah dia 'gerun' dengan komen pedas netizen yang akan mengecamnya kerana kembali menanggalkan tudung selepas Ramadan, Amylea mempunyai pendapatnya tersendiri berhubung perkara tersebut.

Tahun ini memang saya berniat untuk pakai tudung demi menghormati bulan Ramadan.

AMYLEA AZIZAN

PENYANYI

"Kalau mereka (netizen) mengata saya macam itu, itu sebenarnya adalah ujian buat mereka.

"Bila mereka kata-kata macam itu, itu yang membuatkan kadang-kadang ada orang takut nak buat perkara baik macam ini.

"Dari perbuatan mereka itu telah menyekat seseorang itu untuk melakukan kebaikan, bagi saya senang sahaja... kalau tiada benda baik nak tulis, baik jangan tulis apa-apa," ujarnya.

Amylea bakal tampil dengan dua lagu raya.

Sementara itu, dalam perkembangan seni, penyanyi lagu Kendati ini bakal tampil dengan dua lagu raya baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Bulan Ramadan ini selain saya rebut peluang untuk beribadah, kerja seni pun tidak dilupakan.

"Saya akan keluar dengan single raya bersama penyanyi di bawah label Seventeen Eleven Music serta lagu raya sendiri," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain