suria

Syanie bertemu jodoh lagi, selamat berkahwin kali ketiga - “Zahril berani bertemu dengan ibu luah hasrat hati”

Syanie sah bergelar isteri kepada Zahril pada pagi, Jumaat.

PELAKON dan pelawak Syanie Hisham selamat melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya iaitu Zahril Hafiz Mohammed Nor, 41, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kira-kira pukul 9.30 pagi, Jumaat.

Syanie yang juga ahli perniagaan memberitahu sepatutnya perancangan mereka memilih 21 Februari untuk tarikh pernikahan namun terpaksa diawalkan disebabkan slot hujung minggu di Jawi sudah penuh.

ARTIKEL BERKAITAN: Syanie selamat jalani pembedahan buang rahim dan ovari selama 7 jam - “Fikiran bercelaru hanya fikir perkara buruk”

Bersyukur acara akad nikah berjalan dengan lancar, Syanie, 47, memberitahu dia dan suaminya merancang untuk mengadakan majlis resepsi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.



Syanie terima lamaran Zahril selepas melihat kesungguhannya.

"Alhamdulillah... semuanya berjalan dengan lancar. Ikutkan kami rancang nak nikah pada 21 Februari namun tarikh itu sudah penuh sebab musim PKP. Jadi kami pilih tarikh hari ini untuk nikah.

"Kebetulan pula, hari ini merupakan genap setahun kami bercinta. Acara akad nikah tadi berlangsung hanya lebih kurang 20 minit sahaja dan selepas selesai di Jawi, kami pulang ke rumah untuk sesi batal air sembahyang.

"Ikutkan perancangan memang ada ajak saudara-mara belah saya dan suami tapi waktu PKP ini tak boleh nak berkumpul. Insya-Allah, kami akan adakan majlis resepsi sebaik sahaja PKP tamat," katanya kepada mStar.

Selepas dua tahun berkawan, akhirnya saya terbuka hati untuk terima dia.

SYANIE

PELAKON & PELAWAK

Terdahulu bekas peserta program realiti, MasterChef Selebriti musim kedua ini berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik foto dia bersama suaminya di Instastory pada Jumaat.

Untuk rekod, Syanie pernah mendirikan rumah tangga buat kali pertama pada 1996 namun bercerai pada 2002 manakala perkahwinan keduanya pada 2014 hanya bertahan selama dua tahun.

Dalam pada itu, Syanie mengakui kegagalan dua perkahwinan sebelum ini membuatkan dia tidak berasa yakin untuk mendirikan rumah tangga lagi biarpun sudah mengenali suaminya sejak tiga tahun lalu.



Syanie akan mengadakan majlis resepsi selepas PKP tamat.

Namun hati pelakon filem Lagi-Lagi Senario itu berubah selepas melihat kesungguhan Zahril yang berani bertemu dengan ibunya untuk meluahkan hasrat memperisterikannya.

"Kalau nak diikutkan, Zahril mula mendekati saya sejak tiga tahun lalu. Ketika itu saya fikir, belum masanya mencari pengganti. Selepas dua tahun berkawan, akhirnya saya terbuka hati untuk terima dia.

"Saya menjadi semakin yakin selepas melihat kesungguhan Zahril nak jadikan saya isteri dan dia pun berani bertemu dengan ibu saya untuk luah hasrat nak kahwin," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain