suria

Pemakaian di SFMM35 dikritik aneh, Wany Hasrita lebih pentingkan keselesaan - “Saya tak suka pakai ketat dan tak nak ikut bentuk badan”

Fesyen Wany Hasrita ketika malam SFMM35 dikritik.

PENAMPILAN penyanyi Wany Hasrita sering menjadi perhatian malah pakaiannya di malam Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM35) pada 15 Disember tahun lalu juga menjadi kritikan netizen sehingga menjadi trending di media sosial.

Menerima kritikan netizen terhadap pemilihan pakaiannya, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita memberitahu dia akan lebih berhati-hati memilih pakaian yang sesuai untuk program TV.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak jual barang percuma!” - Wany Hasrita masih jaga keberkatan, baju bertanda ‘sample’ bukan dapat ‘free’

Biarpun pemilihan fesyen akan mengikut kehendak penonton, namun penyanyi berusia 29 tahun ini tetap akan mengekalkan konsep dirinya yang tidak gemar memakai pakaian mengikut bentuk badannya.

Wany akan lebih berhati-hati dalam soal pemilihan fesyen.

"Kali ini, saya akan lebih berhati-hati dalam soal pemilihan pakaian. Bagi saya, yang paling penting saya selesa pakai dan sebenarnya saya perlu mengambil komen-komen orang juga.

"Orang nak tengok cantik dan mesra TV... jadi, kita kena cari juga pakaian yang orang pandang nampak cantik dan sesuai. Benda ini saya masuk dalam senarai pemilihan pakaian.

"Tak semestinya kita kena ikut diri kita saja kan dan pemilihan pakaian, Insya-Allah masih mengekalkan diri saya sebagai Wany Hasrita tapi akan lebih dilihat mesra penonton.

"Saya ada juga minta pendapat stylish untuk nak seimbangkan dengan konsep tapi apa yang patut saya rasa this is Wany, tak perlu diubahlah macam saya memang tak suka pakai ketat sangat dan tak nak ikut bentuk badan," katanya kepada mStar.

Bagi saya, yang paling penting saya selesa pakai dan sebenarnya saya perlu mengambil komen-komen orang juga.

WANY HASRITA

PENYANYI

Sebelum ini, Wany yang menggayakan gaun berwarna merah jambu oleh pereka fesyen Behati dengan gaya tudung ‘aneh’ seakan-akan pakaian mandi Muslimah iaitu burkini.

Netizen berpendapat bahawa padanan gaun merah jambu dengan tudung berwarna putih yang digayakan oleh penyanyi Menahan Rindu itu tidak ubah seperti kuih apam dan putik kapas.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu ke-35, Wany memberitahu dia dan penyanyi Datuk Jamal Abdillah sudah berbincang mengenai konsep serta susunan lagu duet mereka, Belenggu Rindu.

Menurut Wany, dia ingin melakukan persiapan sebaik yang mungkin dan menganggap persembahan di pentas AJL kelak merupakan peluang untuk membuktikan dirinya mampu menyanyi secara langsung.

Wany dan Datuk Jamal Abdillah bakal menyampaikan lagu Belenggu Rindu di pentas AJL35.

"Untuk final, kami ada melakukan perbincangan dari segi konsep persembahan dan susunan lagu. Buat masa kini, tak banyak yang kami tukar dan ikut susunan lagu asal yang sememangnya dah sedap.

"Sudah tentu, saya ada ambil kelas vokal yang berjalan seperti biasa dan bagi saya, persiapan kali ini kena lebih 200 peratus sebab dah dua tahun tak jejak kaki di pentas AJL.

"Jadi, saya anggap ia satu peluang untuk saya buktikan kepada semua orang yang saya mampu untuk menyanyi secara live," ujarnya.

AJL35 sepatutnya berlangsung pada 7 Februari depan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam terpaksa ditunda ke tarikh yang belum ditetapkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain