suria

“Kuda nampak sesuatu dalam hutan” - Pelakon Tanah Kubur, Dwan Hamid cedera parah diseret kuda... 20 jahitan di kepala

Dwan mengalami kecederaan parah ketika menunggang kuda.

MALANG tidak berbau... itulah yang terjadi kepada pelakon Dwan Hamid yang terpaksa menerima 20 jahitan di kepala, sembilan jahitan di dagu dan ibu jari tangan kiri patah akibat terjatuh ketika menunggang kuda.

Menurut Dwan atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuwan Shahul Hamid, 29, insiden tersebut berlaku ketika dia dan empat orang rakannya menunggang kuda di kawasan hutan yang terletak di Batang Kali, Selangor pada petang, Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tanah Kubur' Penyebab Dwan Hamid Bergelar Penjinak Ular

Berkongsi detik kemalangan tersebut, Dwan memberitahu kuda yang ditunggangnya itu hilang kawalan secara tiba-tiba hingga menyebabkan dia terjatuh hingga diseret selama kira-kira tiga minit.

Dwan alami kecederaan pada muka, kepala dan tangan.

"Ketika itu, saya bersama empat orang kawan menunggang kuda di dalam hutan kawasan Batang Kali. Pada awalnya tak ada masalah tapi tiba-tiba kuda yang saya tunggang itu nampak sesuatu.

"Saya tak pasti kuda tu nampak apa, tapi mungkin nampak sesuatu yang tidak baik memandangkan sudah masuk waktu asar. Apabila kuda itu terkejut, tak dapat nak kawal dan bawa saya dengan sangat laju sehingga menyebabkan saya jatuh.

"Saya diseret selama lebih kurang tiga minit dan menyebabkan saya alami kecederaan di kepala. Saya menerima sekitar 18 hingga 20 jahitan di kepala, sembilan jahitan di dagu dan ibu jari tangan kiri patah," katanya kepada mStar.

Memang saya trauma sangat dan serik nak tunggang kuda lagi.

DWAN HAMID

PELAKON

Dwan yang turut dikenali sebagai penjinak ular itu kini menerima rawatan di Hospital Kajang dan masih menunggu keputusan doktor untuk menjalani pembedahan buang darah beku dalam kepalanya.

Difahamkan, Dwan ketika itu mengikuti jemaah tabligh selama 40 hari dan baharu sahaja menghabiskan 20 hari bersama mereka.

Dalam pada itu, pelakon drama Tanah Kubur dan Maaf Jikaku Tak Sempurna ini menganggap kejadian yang berlaku itu mempunyai hikmah tersendiri.

Mengakui serik dan trauma, Dwan berharap orang ramai dapat mendoakan keadaannya dan menasihati agar tidak melakukan aktiviti tersebut di kawasan perhutanan.

Dwan gemar menyertai aktiviti sukan lasak.

"Sekarang ini saya masih menerima rawatan di Hospital Kajang dan doktor minta ditahan wad selama satu hari untuk pantau keadaan kepala saya yang berkemungkinan ada darah beku.

"Mungkin saya perlu menjalani pembedahan untuk buang darah tersebut. Buat masa kini, saya masih menunggu untuk jalani pembedahan tersebut. Saya anggap apa yang jadi ini, Allah nak cuci dosa saya.

"Memang saya trauma sangat dan serik nak tunggang kuda lagi. Saya harap semua orang dapat mendoakan keadaan saya. Berhati-hati la sekiranya nak tunggang kuda serta elak lakukannya dalam hutan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wanita berang mentua melahap kek perkahwinan