suria

'Tanah Kubur' Penyebab Dwan Hamid Bergelar Penjinak Ular

Dwan Hamid pelakon baharu yang berkebolehan menjinakkan ular berbisa.

PETALING JAYA: Pendatang baharu Dwan Hamid berharap kebolehannya menjinakkan ular dapat memberi tambah nilai kepada karier lakonannya.

Dwan, 25, berkata, dia mula melibatkan diri sebagai penjinak ular kira-kira dua tahun lalu selepas diberikan peluang berlakon dalam drama bersiri Tanah Kubur arahan Rashid Sibir.

"Saya mula serius bermain dengan ular sejak dua tahun lalu selepas diberi peluang berlakon memegang satu watak dalam drama bersiri Tanah Kubur.

"Dalam satu babak saya menjadi mayat dan ketika badan saya dimasukkan ke dalam kubur, seekor ular turut diletakkan bersama-sama saya.

"Walaupun pada awalnya saya berasa gementar tetapi kerana pengalaman itu ia membuatkan saya terbuka hati untuk mendekati haiwan reptilia itu dan menjadi penjinak ular," katanya kepada mStar Online.

Babak yang memerlukan Dwan perlu bersama ular.

Dalam pada itu, Dwan berkata, inisiatifnya itu dilakukan kerana ingin mencari kelainan daripada pelakon sedia ada kerana sedar persaingan sengit dikalangan pendatang baharu.

"Saya pasangan impian untuk bergelar pelakon sudah lama tetapi saya sedar bukan mudah untuk menempatkan diri sebagai pelakon jadi saya perlu tampil dengan sesuatu yang berbeza.

"Sekurang-kurangnya dengan kebolehan saya menjinak ular pihak produksi tidak perlu mengeluarkan kos tinggi untuk mengupah pelakon lagak ngeri kerana saya boleh melakukannya sendiri," ujarnya.

Tambah Dwan lagi, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya diminta untuk menjayakan sesuatu babak dengan ular berbisa lain seperti ular senduk atau tedung.

Sementara itu, pelakon drama Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu turut memberitahu sepanjang belajar menjadi penjinak ular dia bersyukur kerana tidak pernah mengalami kejadian tidak diingini seperti dipatuk ular.

Dwan berharap diberi lebih banyak peluang sebagai pelakon.

"Pernah tangan saya dibelit dan digigit ular sawa sewaktu menjayakan satu persembahan dan menerima empat jahitan yang sehingga kini masih meninggalkan parut.

"Bagaimanapun ia tidak melemahkan semangat saya untuk terus belajar menawan reptilia liar itu sehingga mahir.

"Saya bertuah kerana mendapat guru berpengalaman di mana saya diajar bagaimana untuk menawan ular berbisa dengan memandikannya, memberi makan selain memahami karakternya sehingga ia menyenangi kita," katanya.

Pelakon yang berasal dari Taiping, Perak ini juga berharap dapat mengadakan siri jelajah pertunjukan ular ke seluruh negara dengan tujuan menghibur dan berkongsi ilmu tentang sifat haiwan itu kepada orang ramai.

Dwan Hamid, Tanah Kubur

Artikel Lain