suria

Kembali aktif di IG, Da’i Syed kongsi luahan hati ditulis dalam lokap - “Yang benar ditutup, yang palsu diangkat... perjalanan masih belum tamat”

Da'i Syed kembali aktif memuat naik perkongsian di laman Instagram.

HAMPIR sebulan mendiamkan diri daripada Instagram, pendakwah muda Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau dikenali sebagai Da’i Syed akhirnya kembali aktif di laman tersebut.

Menerusi Instastory, Syed Iqmal berkongsi beberapa tulisan puisi dan nukilan hati yang dihasilkan semasa dia berada di dalam tahanan lokap selama 19 hari.

"Diusirnya aku tepat pada masa, rintihan kejar janji dunia semata, ku ke sini masih diri bagai hamba, sampai mati pasti digarinya, lokap SA (Shah Alam)"

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Pengurus Syed Iqmal pertimbang ‘rebranding’, buang gelaran Da’i - “Sebelum ini ramai tak tahu, sekarang makcik kantin pun kenal”

"Dalam bicara aku ditempatkan, adil atau tidak, milik aku bukan, jemput diriku yang sekarang, jika dulu pasti tiada.

"Yang dibina lama runtuh dalam saat, yang lari takut, yang tinggal pasti taat, yang benar ditutup, yang palsu diangkat, perjalanan masih belum tamat," tulisnya.

Bersama tulisan itu, pendakwah selebriti ini turut berkongsi foto hitam putih yang tidak dapat dipastikan individu dalam imej tersebut.

Sebelum itu, pengurusnya iaitu Mohd Aizat Jaafar ada berkongsi foto Syed Iqmal bersama beberapa teman termasuklah rakan artis, Ryan Deedat bergambar di sebuah kediaman.

Luahan hati Syed Iqmal di Instastory.

Dalam kapsyennya itu, Aizat meluahkan rasa syukur kerana Syed Iqmal dikelilingi ramai insan positif yang sudi bersama ketika susah dan senang.

"Alhamdulillah positive vibes, dikelilingi mereka yang baik-baik. Syukur Syed Iqmal. Berkawan bukan untuk memburukkan tetapi hadir di kala susah... itulah sahabat sejati," tulisnya.

Perkongsiannya itu menerima respons positif daripada pengikut yang merindui gelagat Syed Iqmal di media sosial yang cukup dikenali kerana gemar bergurau dengan peminatnya.

"Alhamdulillah apa berlaku ada hikmahnya, baru tahu sekeliling kita ada saja yang nak jatuhkan kita, tapislah mana satu kawan mana sahabat. Salah satunya Allah nak tunjukkan kebenaran supaya buka mata seluas-luasnya.

"Saya mahu dia kembali memberi senyuman kepada peminat... semoga terus dikelilingi dengan kebaikan dan rahmat Allah.

Ini luahan hati menceritakan seorang manusia yang mencari hakikat kebahagiaan tetapi dicemuh, disiksa jiwanya meronta-ronta.

SYED IQMAL

PENDAKWAH MUDA

"Nampak Da'i senyum kita orang pun semua happy, semoga kalian terus kuat dan teruskan berdakwah ya, kami akan sokong daripada jauh," tulis peminat.

Menerusi temubual bersama mStar pada 15 Disember lalu, Syed berkata dia ada menulis lirik lagu semasa berada di Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang.

"Saya ada tulis lagu dalam kem penjara, ini luahan hati menceritakan seorang manusia yang mencari hakikat kebahagiaan tetapi dicemuh, disiksa jiwanya meronta-ronta. Tunggulah InsyaAllah.

"Saya kadang-kadang duduk termenung bertanya diri kepada Allah kenapa beri saya ujian ini... mungkin Allah nak tegur, Allah nak beri peringatan, saya terima dugaan ini dengan reda," katanya.

Pengurus kongsi foto terkini Syed Iqmal di Instagram.

Pada 15 Disember lalu, Syed Iqmal dilepaskan dengan ikat jamin keseluruhan sebanyak RM35,000 masing-masing RM25,000 di Mahkamah Petaling Jaya dan RM10,000 di mahkamah Shah Alam.

Dalam pertuduhan ke atasnya pada 10 Disember lalu, Syed Iqmal mengaku tidak bersalah bagi tiga tuduhan jenayah seksual masing-masing di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Petaling Jaya serta Mahkamah Sesyen, Shah Alam.

Bagi pertuduhan di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Syed Iqmal mohon dibicarakan berhubung dakwaan melakukan seks luar aturan tabii mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan perbuatan cabul mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM25,000 bagi kedua-dua dakwaan itu.

Sementara di Shah Alam pula, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol seorang penganggur wanita berusia 23 tahun dalam kejadian pada 11 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain